Memposisikan PAS Perak

- Advertisement -

PERAK pernah mencipta sejarah Parlimen pertama dimenangi PAS. Perak juga adalah negeri yang memancarkan sinar perjuangan Islam melalui Hizbul Muslimin di Gunung Semanggol. Saya masih ingat kata-kata yang sering diulang guru politik saya almarhum Imam Abd Majid Saleh, seorang tokoh pejuang kemerdekaan. ‘Hubaya hubaya bencana turun dari gunung’ merujuk ketakutan British terhadap penubuhan Hizbul Muslimin di gunung Semanggol.

Perak juga pernah melahirkan tokoh ulung kemerdekaan dan pemimpin PAS seperti Dr Burhanuddin al Helmi, Dr Zulkifli Muhammad dan Hasan Adli. Tidak lupa idola penulisan saya almarhum Pak Subky Latif. Pendek kata, Perak adalah bumi subur perjuangan Islam.

Perak adalah bumi subur untuk masa depan PAS. Namun ia memerlukan tokoh yang mempunyai keberanian untuk merubah cara berfikir. Tidak hanya berharap dan bergantung kekuatan parti lain tetapi mampu mencorak dan mencatur sendiri agenda perjuangan. Semangat dan keberanian Maharaja Lela dan pembantunya perlu dimiliki. 

- Advertisement -

Kini Perak memiliki tiga kerusi DUN tanpa kerusi Parlimen. PAS terpaksa berdepan dengan kekuatan DAP yang miliki 18 kerusi tunjang mereka. Umno pula cuba mengimbangi semula kuasa di kerusi majoriti Melayu dari baki 59 kerusi DUN. Selain itu PAN, PKR dan BERSATU juga menumpukan kerusi Melayu dari baki milik DAP. DAP telah mengisytiharkan sasaran 20 kerusi bukan-Melayu. 

Sejarah PAS di Perak sebelum ini pernah miliki 6 kerusi ketika bersama Pakatan Rakyat. PAS menjadi Menteri Besar dan seorang Exco dengan dominasi DAP. Kerajaan itu hanya bertahan 11 bulan. Melalui PRU14, PAS Perak hanya mampu menang di tiga kerusi DUN. Namun kemenangan tiga kerusi ini adalah dari undi teras PAS di saat gelombang penolakan korupsi Umno BN dan terpedaya janji palsu PH.

Kerajaan Perak tergantung hinggalah dua ADUN Umno menyokong BERSATU. PAS yang ketika itu mampu menjadi playmaker membentuk kerajaan bersama Umno terpaksa menolak kerana gelombang kebencian Umno terlalu memuncak di kalangan rakyat. Rakyat tidak mungkin memaafkan PAS jika membentuk kerajaan ketika itu setelah rakyat berjaya menjatuhkan Umno yang sudah sekian lama lupa diri dengan kuasa yang dirasakan kekal selamanya. 

Pergolakan dalaman PH dan sikap rakus DAP akhirnya menumbangkan Kerajaan PH. Menteri Besar dan satu satunya ADUN BERSATU bersama dua penyokongnya dan dua dari DAP mengikuti jejak Kerajaan Pusat menukar gabungan politik baru membentuk kerajaan.

PAS di bawah pimpinan YB Razman Zakaria berjaya memposisikan tiga ADUN PAS di tempat strategik dalam kerajaan. Beliau sendiri bersama YB Akmal mengisi kerusi Exco dan YB Khalil menjadi Timbalan Speaker. Dengan tiga kerusi, PAS berjaya mengukuhkan dirinya dalam Kerajaan Perak. Ia satu kemenangan awal untuk masa depan gemilang PAS di Perak.

YB Razman menyatakan iltizam PAS Perak untuk terus melangkah ke hadapan. Beliau yakin PAS Perak miliki kekuatan dan barisan pimpinan masa depan yang mampu mencorak politik Islam dan membela nasib orang Melayu dan rakyat Perak. “PAS Perak ada kekuatan dan rakyat mula yakin dengan kemampuan ADUN PAS memberi khidmat dan memperjuangkan nasib khasnya umat Islam dan Melayu di Perak. Kini masa untuk rakyat Perak beri kepercayaan dan peluang kepada PAS Perak mencorak negeri,” ujar beliau.

Kini masanya rakyat Perak memberi peluang kepada PAS untuk lebih teguh dalam mana-mana gabungan politik yang bakal dibentuk selepas PRU15. Dengan posisi sebagai sebahagian kerajaan dan terus berusaha mempertahan kuasa Melayu melalui prinsip pertahankan PN dan perkukuhkan MN, PAS menjadi harapan umat Islam dan Melayu.  

Mungkin peranan PAS sebagai ‘parti kecil’ dalam Kerajaan Pusat tidak menyerlahkan aspirasi PAS,  namun bukti komitmen menjulang kuasa Melayu Islam diperlihatkan di dalam Kerajaan PAS, Kelantan, dan kini Terengganu dan Kedah. Ia bukti PAS akan menjadi satu-satunya harapan umat Islam dan Melayu di masa depan. PAS perlu diberi peluang dan kepercayaan.

FAIRUZ HAFIIZH OTHMAN
Setiausaha Politik
Pesuruhjaya PAS Perak – HARAKAHDAILY 27/9/2021

Sumber Asal: https://m.facebook.com/100000122032873/posts/6916279545052711/

- Advertisement -