Malaysia lepasi halangan pertama dengan atasi England

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Malaysia memulakan kempen kejohanan badminton Piala Sudirman 2021 dengan langkah kanan apabila menewaskan England 3-2 pada perlawanan pembukaan Kumpulan D di Vantaa, Finland, hari ini.

Biarpun tidak beraksi selama enam bulan, beregu campuran Hoo Pang Ron-Cheah Yee See menyuntik semangat pasukan muda negara dengan mengalahkan gandingan nombor tujuh dunia, Marcus Ellis-Lauren Smith 21-19, 21-18 dalam tempoh 48 minit.

- Advertisement -

Juara All England 2021, Lee Zii Jia menepati ramalan apabila mudah mengutip mata kedua selepas mengalahkan Johnnie Torjussen 21-4, 21-15 dalam tempoh 28 minit.

Walaupun terpaksa berdepan dengan aksi pantas daripada Ben Lane-Sean Vendy, beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik, selaku pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020, mengesahkan kemenangan Malaysia dengan keputusan 22-20, 21-18.

Hasrat Malaysia untuk melakar kemenangan seterusnya tidak kesampaian apabila pemain perseorangan wanita, S. Kisona, yang juga ranking ke-53 dunia tewas mengejut pada pertemuan pertama dengan pemain ranking ke-176, Abigail Holden 16-21, 20-22 dalam masa 43 minit.

Dalam saingan akhir, beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah turut mengalami nasib sama apabila tumpas 18-21, 21-17, 10-21 di tangan Chloe Birch-Lauren Smioth dalam pertembungan selama 64 minit.

Sementara itu, naib juara 2019, Jepun memulakan kempen dengan penuh bergaya apabila membenam Mesir 5-0 dalam kumpulan sama.

Malaysia akan berdepan Mesir manakala Jepun menentang England esok, dengan kedua-dua perlawanan bermula jam 4 petang waktu tempatan (9 malam waktu Malaysia).

Mengikut format Piala Sudirman, hanya juara dan naib juara kumpulan layak ke peringkat suku akhir. – BERNAMA

- Advertisement -