‘Keluarga Dunia’: Masyarakat global perlu bersatu

- Advertisement -

Oleh KAIROL ZULHAIDI

KUALA LUMPUR: Masyarakat global perlu bersatu kerana semua manusia penghuni dunia ini sebenarnya merupakan sebuah keluarga besar yang tidak dipisahkan sebarang sempadan, walaupun berbeza negara dan wilayah. 

Pengarah Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Dato’ Dr Ismail Sualman berkata, seluruh penduduk dunia adalah sebuah keluarga dan secara teorinya bertepatan dengan istilah ‘Global Village’ yang bermaksud perkampungan atau penempatan sejagat. 

- Advertisement -

Menurutnya, manusia di seluruh dunia dihubungkan oleh media dan komunikasi melalui internet walaupun masing-masing tinggal di negara yang berlainan. 

“Manusia kini boleh berkomunikasi dan berinteraksi melalui perantaraan maya. Berdasarkan  aspek itu, sekiranya kita menganggap  bahawa satu dunia ini ibarat satu perkampungan, jadi kita tidak lagi bercakap tentang wilayah kerana ia telah direntasi oleh jaringan internet,” ujarnya.

Mengulas lanjut katanya, manusia malah sudah  berkongsi pelbagai budaya dan makanan dari serata dunia sebagai contohnya makanan barat seperti francais McDonald’s dan KFC yang bertebaran di seluruh pelosok dunia. 

“Kita semua juga boleh mendapatkan dan menyampaikan maklumat dengan mudah. Contohnya, satu dunia boleh melihat segala-galanya apabila seseorang memuat naik sebuah video melalui media sosial seperti saluran YouTube. 

“Jadi, ia ibarat kita telah berkongsi dalam segala hal seperti sebuah keluarga, misalnya apabila tersebar berita tentang sesuatu kejayaan di peringkat global, satu dunia akan menyambutnya dengan gembira dan sebaliknya jika berlaku perkara yang menyedihkan seperti malapetaka alam dan sebagainya, satu dunia juga akan berkongsi kesedihan itu,” jelasnya kepada HarakahDaily

Dr Ismail Sualman.

Katanya lagi, saranan Perdana Menteri, Dato’ Seri  Ismail Sabri Yaakob yang menggesa masyarakat dunia saling bekerjasama sebagai sebuah keluarga besar bagi mendepani cabaran ketidakadilan, ketidakstabilan politik dan tadbir urus global adalah satu kebenaran.

“Sekiranya konsep ‘Keluarga Dunia’ atau ‘World Family’  (seperti yang disarankan Perdana Menteri di PBB) ini diperkasakan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), maka adalah tidak salah untuk berbicara mengenai sebarang isu yang timbul di peringkat global dalam konteks manusia sejagat kerana ia adalah perkara yang terbaik bagi menyatukan dunia,” tegasnya. 

Ismail berkata, dalam konteks Islam pula, umat manusia berasal daripada keturunan Nabi Adam, jadi tiada masalah sebenarnya sekiranya semua manusia bersatu di bawah sebuah keluarga sesama Islam.

“Cuba lihat negara-negara Islam sekarang bagaimanapun tidak bersatu walaupun wujud Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC). Banyak negara Islam sendiri bukan sahaja tidak bersatu malah menjadi seteru antara satu sama lain. Contohnya, hubungan antara negara Arab Saudi dengan Qatar yang rapuh telah menyebabkan rakyat Qatar tidak dapat menunaikan ibadah haji di Makkah,” ujarnya. 

Keadaan itu menurutnya lagi, perlu difikirkan kembali kerana biarpun umat Islam dari kelompok yang sama tetapi masih ada ‘pemisahan’ yang menjarakkan antara negara-negara Islam menjadikan mereka tidak sehaluan.

“Peperangan yang berlaku juga banyak melibatkan negara-negara Islam seperti Syria, Iraq dan Afghanistan kerana negara-negara Islam tidak bersatu dan tidak menganggap mereka sebagai sebuah keluarga. Sekiranya kita menganggap saudara sesama Muslim adalah keluarga kita sendiri, tidak mungkin kita akan saling menyerang dan berperang sesama Islam,” katanya.

Sementara itu, menurut Penganalisis Politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Ilyas Abdullah pula, ucapan Perdana Menteri di PBB baru-baru ini adalah selari dengan konsep Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang menekankan beberapa tema, antaranya kesihatan yang baik dan kesejahteraan hidup.

Menurutnya, setiap negara dilihat turut membantu negara-negara yang terjejas teruk akibat  ancaman pandemik Covid-19. Sebagai contohnya, bantuan daripada negara Qatar yang telah membantu menghulurkan bantuan kepada negara India.

“Pandemik Covid-19 merupakan isu global yang sedang dihadapi semua negara. Ancaman ini turut memberi kesan kepada ekonomi global khususnya sektor pelancongan. Justeru, ketidakstabilan politik dunia harus dihentikan dengan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada  pemulihan ekonomi dan kesihatan sejagat,” katanya. 

Dr Ilyas Abdullah.

Sehubungan itu beliau menegaskan, semangat ‘Global Family’  ini juga boleh mengendurkan jurang ketidaksamarataan di antara negara-negara kaya dengan negara-negara miskin dan negara-negara yang sedang membangun.

Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), ujar Ilyas, harus berperanan sebaik mungkin agar pembekalan vaksin tidak didominasi atau dimanipulasi oleh negara-negara maju. 

“Hal ini selari dengan pengukuhan institusi dan keadilan yang juga merupakan salah satu tema SDG. Justeru, semua badan-badan dunia harus saling bekerjasama demi menjayakan ‘Global Family’,” tegasnya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Dato’ Seri  Ismail Sabri Yaakob meminta masyarakat seluruh dunia bekerjasama dalam semangat ‘Keluarga Dunia’ dalam mendepani cabaran ketaksamaan, ketidakstabilan politik dan tadbir urus global.

Gesaan Perdana Menteri tersebut disampaikan dalam ucapan sulungnya pada Debat Umum sesi ke-76 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York, menerusi rakaman video. 

Dalam ucapan teks yang dikeluarkan Wisma Putra pada hari ini, beliau berkata, seluruh dunia yang kini terkesan dengan pandemik Covid-19 perlu bersatu dan mengambil bahagian dalam diplomasi kesihatan yang lebih berkesan sebagai sebuah keluarga dunia.– HARAKAHDAILY 27/9/2021

- Advertisement -