Insentif baharu lonjakkan industri strategik

Oleh EVA NATASHA SADALI

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju meluluskan pelaksanaan beberapa program dan projek utama dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi melonjakkan pertumbuhan sektor dan industri strategik.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata antaranya ialah dana pinjaman pelaburan penyelidikan dan pembangunan bidang aeroangkasa, elektrik dan elektronik, penubuhan Pusat Kecemerlangan Industri Masa Depan (Centre of Excellence for Future Industry) dan dana harta intelek.

Advertisement

Katanya, kerajaan juga akan menyediakan skim pembiayaan mudah untuk pendigitalan dan penerimagunaan teknologi untuk menyokong syarikat tempatan beralih kepada teknologi termaju,” katanya ketika membentangkan usul RMK-12 di Dewan Rakyat, hari ini.

Ismail Sabri berkata, pelaksanaan perancangan ini membolehkan negara mencapai sasaran pertumbuhan purata sektor perkhidmatan sebanyak 5.2 peratus, pembuatan 5.7 peratus, pertanian 3.8 peratus, perlombongan dan pengkuarian 2.6 peratus serta pembinaan 4.2 peratus dalam tempoh RMK-12.

Malah, katanya sektor pelancongan yang paling terjejas berikutan pandemik Covid-19 dijangka pulih dengan sasaran pertumbuhan 3.8 peratus.

Beliau berkata, Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) pula dijangka dapat menyumbang sebanyak 45 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan 25 peratus kepada jumlah eksport pada tahun 2025.

“Kerajaan komited untuk terus membantu dan menyokong pemulihan PMKS dengan galakan untuk meneruskan agenda tranformasi digital bagi memacu pertumbuhan dalam norma baharu pasca pandemik,” katanya.

Perdana Menteri berkata, PMKS merupakan tulang belakang kepada ekonomi negara dengan bilangan perusahaan ini hampir 1.2 juta atau 97.2 peratus daripada keseluruhan jumlah industri pada akhir tahun lalu.

Bagaimanapun, katanya sebahagian besar PMKS masih kurang berdaya saing dan perlu diperkasa semula setelah terjejas akibat pandemik dan kerajaan komited untuk terus membantu dan menyokong pemulihan perusahaan ini. – HARAKAHDAILY 27/9/21