Da’i komuniti, penyatu kerajaan dan masyarakat

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Peranan Da’i Komuniti Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) adalah untuk menyampaikan dakwah dan menjadi penyatu di antara kerajaan dan masyarakat.

Da’i Komuniti di perumahan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Jalan Tun Razak, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz, berkata sejak dilantik tiga bulan lalu, pelbagai aktiviti dijalankan bagi tujuan itu bersama masyarakat setempat.

- Advertisement -

Katanya, dengan sokongan yang diterima, dia berjaya menjalankan aktiviti bersama penduduk seperti bacaan Yassin secara dalam talian setiap minggu dan edaran sumbangan.

Mohamad Suhaimi juga bercadang untuk menganjurkan kelas al-Quran secara bersemuka sekiranya pandemik Covid-19 lebih terkawal kelak, selain program berkhatan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Harakah selepas selesai menghadiri Program Semarak Kemerdekaan bersama Daie Komuniti YADIM di Surah Al-Hidayah, Flat PKNS, di sini, pada Sabtu.

Program itu berjaya mendapat sambutan penduduk dengan penyertaan pertandingan mewarna, pertandingan kuiz kemerdekaan dan edaran sumbangan barangan keperluan asas.

Sohaini Abdul Hamid

Penerima sumbangan, Sohaini Abdul Hamid, 75, berkata, sumbangan yang disediakan daie komuniti untuk masyarakat setempat sedikit sebanyak membantu dirinya melengkapkan keperluan asas dapur.

Sohaini yang tinggal berasingan dengan anaknya berkata, sumbangan yang diterima pada Sabtu merupakan sumbangan kedua yang dinikmatinya.

Sementara itu, wakil YADIM, Mohd Nuuh Muhammad Idris berkata, tujuan asal penganjuran program adalah atas dasar prihatin dengan kesihatan mental kanak-kanak.

Katanya, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kanak-kanak tidak beroeluang beraktiviti bersama rakan mereka, dan hanya berada di dalam kediaman masing-masing .

Melihat kepada penerimaan masyarakat terhadap Da’i Komuniti YADIM, katanya agensi itu berhasrat untuk menambah lebih banyak daie komuniti di sekitar kawasan tersebut.

“Buat masa sekarang, daie komuniti hanya ada lapan orang di sekitar Kuala Lumpur, dan kita akan tambah jumlahnya kepada 40 orang” katanya.

Mohamad Suhaimi Abdul Aziz

Sementara itu, Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) Zon Titiwangsa, Datuk Azizul Rahman Mohd Hussain menyambut baik usaha YADIM, daie komuniti YADIM, pihak surau dalam penganjuran program berkenaan.

Katanya, bagi pihak MPPWP Zon Titiwangsa, mereka telah mengusahakan dewan mandi jenazah kepada penduduk setempat yang baru sahaja siap dibina.

Selain itu kata Azizul Rahman, program itu juga berpotensi menimbulkan kesedaran kepada peserta berkenaan sejarah Hari Kemerdekaan, Hari Malaysia dan nikmat kemerdekaan yang dicapai hari ini. – HARAKAHDAILY 27/9/2021

- Advertisement -