Cabutan nombor ekor dan ‘pasu bunga’ berkata-kata

JUDI itu haram secara Qat’ie. Tiada perbahasan lain. Haram di sisi Islam. Judi itu melalaikan, merosakkan. Banyak agama juga melarang. Masyarakat yang bertamadun mengawalnya.

PAS sebahagian dari Kerajaan. Dalam Kabinet, PAS ada 3 Menteri (daripada 31). Dalam Parlimen PAS ada 18 MP (daripada 222).

Menteri Kewangan naikkan cabutan khas judi daripada 8 kepada 22 untuk setahun. Cabutan ini dulunya diperkenal untuk inisiatif bantuan Virus Nipah katanya. 

PAS perlu bersuara sebagaimana ia lantang ketika menjadi pembangkang. Kerana judi itu haram Qat’ie dan masyarakat bertamadun harus mengawalnya. 

Advertisement

Menaikkan cabutan khas bukan mengawal, bahkan menggalakkan. Ia satu tindakan ke belakang. Apa yang dilakukan oleh Kerajaan PH dengan mengurangkannya dahulu sudah baik. 

PAS Pusat dan beberapa pemimpin PAS telah keluarkan kenyataan bantahan. Ia adalah usaha yang baik. Dahulu, PAS kerap digelar pasu bunga. Sekarang pasu bunga sudah berkata-kata walaupun ia sebahagian dari kerajaan:

1. Pasir Mas pada 22 September 2021 menggesa MOF tarik balik keputusan di dalam Parlimen;

2. Kenyataan dikeluarkan oleh Dewan Pemuda PAS pada 22 September 2021 mendesak kerajaan batalkan keputusan tersebut;

3. Kenyataan oleh Ustaz Nik Abduh pada 24 September 2021 bahawa tindakan ini adalah langkah ke belakang;

4. Kenyataan rasmi PAS yang dikeluarkan oleh Ketua Penerangan PAS pada 25 September 2021.

3 orang Menteri dalam Kabinet yang ada berpuluh Menteri adalah minoriti kecil. Pun begitu, portfolio agama adalah milik PAS. Bantahan itu harus juga dibuat dalam Kabinet. Saya mohon penjelasan adakah bantahan rasmi dalam Kabinet telah dibuat PAS.

Pun begitu, saya tidak pasti apakah keputusan naikkan cabutan khas ini dibawa ke Kabinet. Kalau tidak dibawa, PAS perlu buat bantahan rasmi secara langsung kepada Kementerian Kewangan dan Perdana Menteri. Ini soal pokok.

Kementerian Kewangan perlu cakna isu sensitif umat. Ini bukan kali pertama. Ketika Kerajaan PH, Kementerian Kewangan bersetuju memindahkan premis Sport Toto ke kawasan majoriti Islam. Ia menimbulkan kemarahan banyak pihak, sehingga ditarik semula. Ia perlu dihentikan, kerana atas apa jua alasan, hasil judi adalah tetap haram. 

Menghapuskan judi secara total mungkin memakan masa. Tapi memperbanyak cabutan khas, itu tindakan ke belakang dan harus dibatalkan segera. PAS akan terus-terusan dikecam. Tetapi itu tidak harus melemahkan perjuangan. 

Tindakan segera yang perlu diambil (jika belum diambil) ialah:

1. Menghantar memorandum atau surat rasmi kepada Kementerian Kewangan untuk bantahan.

2. Menghantar memorandum atau surat rasmi kepada semua pengendali cabutan khas judi.

3. Membangkitkan isu untuk diputuskan semula dalam Kabinet.

4. Mendesak laporan atau kertas putih mengenai kesan perjudian (terhadap sosial dan ekonomi) dan perancangan (roadmap) penghapusan judi secara total.

5. Mendesak penguatkuasaan tegas ke atas orang Islam yang terlibat dalam perjudian.

Semoga usaha ini diteruskan, tidak kira semasa menjadi pembangkang atau kerajaan. Tiada kompromi pada perkara yang haram Qat’ie dan itulah perjuangan. 

Wallahu’alam

YUSFARIZAL YUSSOFF – HARAKAHDAILY 27/9/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/1460461665/posts/10225666546438028/

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.