Bantuan untuk warga institusi Pendidikan Agama

- Advertisement -

SAYA mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Ustaz Idris Ahmad kerana memberi jawapan secara terperinci kepada soalan saya dalam perbahasan Usul Menjunjung Titah Kasih Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 23 September 2021 berkenaan bantuan secara one-off kepada guru tahfiz, guru pondok, guru sekolah agama, bantuan kepada sekolah yang terjejas dan bantuan per kapita pelajar. Bantuan ini dicadangkan bagi membantu meringankan beban pihak-pihak yang disebut di atas ini yang sudah pasti terkesan akibat wabak COVID-19 yang telah berpanjangan sejak tahun 2020.

Parlimen dimaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan sejumlah peruntukan secara one-offuntuk bantuan sara hidup berjumlah RM800 seorang kepada guru institusi pendidikan Islam berdaftar dan bantuan pengurusan operasi dengan peruntukan RM10 per murid warganegara bagi tujuan pengurusan institusi tersebut kesan daripada pandemik COVID-19. Kerajaan Persekutuan juga sentiasa berusaha untuk memastikan institut pendidikan tahfiz, pondok dan sekolah agama di negara ini kekal berdaya saing selari dengan pendidikan arus perdana.

- Advertisement -

Sejak tahun 2017, Kerajaan Persekutuan juga telah menyediakan peruntukan khas secara one off bagi tujuan selenggara dan naik taraf institusi pendidikan tersebut. Pada tahun 2021, kerajaan sekali lagi menyediakan peruntukan one-off bagi tujuan yang sama dan sehingga Ogos 2021 sebanyak RM60 juta telah disalurkan kepada 1,066 buah institusi yang layak.

Berhubung bantuan per kapita murid pula, Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pendidikan pada tahun 2018, 2019 dan 2020 ada menyalurkan peruntukan one-off Bantuan Awal Persekolahan berjumlah RM100 kepada murid warga negara Malaysia dalam kalangan B40. Kerajaan juga telah menyediakan peruntukan one-off bantuan per kapita pelajar tahfiz swasta pada tahun 2019 sebanyak RM120 seorang pelajar.

Penerangan secara terperinci ini menzahirkan keseriusan dan kesungguhan Kerajaan Persekutuan dalam memastikan institusi pendidikan agama dan warganya terus diberi kebajikan sewajarnya lagi-lagi ketika negara kita masih diuji dengan pandemik COVID-19. Saya berharap Kerajaan Persekutuan terus mengadakan sesi dialog dan libat urus bersama institusi pendidikan agama dari masa ke masa dalam memastikan setiap aspek pembangunan sektor ini dapat bergerak tanpa sebarang masalah. 

“Islam Memperkukuh Perpaduan”

YB TUAN WAN HASSAN MOHD RAMLI
Ahli Parlimen Dungun – HARAKAHDAILY 27/9/2021

- Advertisement -