Terma pelaksanaan RCI Tabung Haji diumum tempoh terdekat

- Advertisement -

Oleh Zulkefli Hussin | Foto Rizal Tahir

PASIR PUTEH: Terma dan syarat berhubung pelaksanaan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai isu-isu yang berbangkit dalam Lembaga Tabung Haji (TH) akan diumum dalam tempoh terdekat.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Ahmad Marzuk Shaary, berkata kerajaan sedang mengenal pasti senarai keahlian RCI yang dicadangkan daripada kalangan pakar perundangan, termasuk dalam bidang syariah.

- Advertisement -

“Terma dan syarat itu tidak lari daripada sejak penubuhan RCI yang bermula pada tahun 2014 sehingga 2020,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan daging segar kepada 300 peserta di Penempatan Semula Nelayan di Tok Bali di sini, hari ini.

Beliau berkata, semua transaksi yang timbul dan berbangkit sama ada di Parlimen atau media sosial mengenai urusan Tabung Haji yang perlu pada siasatan akan dirungkaikan menerusi RCI.

Mengenai kes usahawan kosmetik, Muhammad Sajjat Kamaruz Zaman atau Nur Sajat yang melarikan diri ke Thailand, Marzuk berkata, difahamkan pihak polis negara itu menahannya kerana cuba memasuki negara itu secara tidak sah.

Katanya, kerajaan sedia meneruskan proses pendakwaan terhadapnya berhubung beberapa kes mengikut Enakmen Jenayah Negeri Selanggor yang sudah lama tertangguh, sebaik Nur Sajat dibawa pulang ke negara ini.

“Ini terutama kes tidak hadir beberapa kali ketika dipanggil untuk dibicarakan di mahkamah,” katanya.

Mengenai pengagihan daging segar, beliau berkata, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) menerusi Food Bank memperuntukkan RM11 juta bagi meringankan beban umat Islam akibat pandemik Covid-19.

Katanya pengagihan itu dilakukan di seluruh negara secara berperingkat di Terengganu, semalam dan hari ini di Kelantan. – HARAKAHDAILY 26/9/21

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -