Pusat Sokongan Sosial Setempat di 3 negeri

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

RANTAU PANJANG: Kerajaan memperuntukkan RM21 juta untuk pembinaan Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) di Kelantan, Johor dan Selangor, tahun depan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Seri Rina Mohd Harun, berkata PSSS berkenaan dijangka mula beroperasi awal tahun depan dengan PSSS di Kelantan menjadi yang pertama dibuka.

- Advertisement -

Katanya, PSSS adalah antara inisiatif kerajaan untuk menangani isu berkaitan masalah sosial serta keganasan rumah tangga dengan membantu mereka yang terlibat mendapatkan khidmat bimbingan, kauseling dan perlindungan.

“PSSS merupakan satu inisiatif outreach bagi menyediakan pusat rujukan setempat, terutama di peringkat komuniti kepada semua lapisan masyarakat mendapatkan perkhidmatan seperti mengemukakan aduan dan pertanyaan.

“Selain itu, perkhidmatan kaunseling secara bersemuka atau dalam talian disediakan di PSSS. Begitu juga khidmat nasihat dan bimbingan berkaitan pembangunan sosial, intervensi dan perlindungan bagi mangsa keganasan rumah tangga. Bantuan kebajikan dan sokongan psikososial juga diberikan,” katanya selepas meninjau tapak projek PSSS di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalannya, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff dan Ketua Setiausaha Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dr Maziah Che Yusof.

PSSS ini akan dibangunkan di Kompleks Perumahan Kastam Rantau Panjang yang penggunaan kemudahan ini ditukar daripada Kementerian Kewangan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Pada majlis itu, Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan, Rakbi Mat Saud, menyerahkan kunci kompleks tersebut kepada Rina sebagai simbolik untuk tujuan pembangunan PSSS.

Rina berkata, mereka yang menjadi mangsa dan memerlukan tempat perlindungan juga disediakan kemudahan itu di PSSS jika datang dan membawa anak.

Selain itu, katanya kementerian akan melancarkan PSSS bergerak yang dijangka beroperasi bulan depan dan memberi tumpuan di kawasan penduduk padat dan yang dikenal pasti untuk kementerian memberikan perkhidmatan kepada mereka.

Katanya, PSSS juga akan diperluaskan ke Selangor, Johor, Kuala Lumpur, manakala PSSS bergerak di Zon Utara, Selatan, Tengah, Timur, Sarawak, Sabah dan Putrajaya.

Katanya, kementerian melalui Yayasan Kebajikan Negara (YKN) akan bekerjasama dengan agensi kerajaan lain dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) berkaitan sebagai rakan strategik untuk memberi perkhidmatan di PSSS. – HARAKAHDAILY 26/9/21

- Advertisement -