Perak mampu muncul pembekal utama rusa negara

- Advertisement -

Oleh Mohd Syamil Azhar

LENGGONG: Kerajaan negeri akan memperluaskan kawasan ternakan rusa dalam usaha menjadikan Perak sebagai pembekal utama ternakan tersebut di negara ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Razman Zakaria, berkata sebanyak RM9.8 juta diperuntukan bagi memperkasakan penternakan itu sepanjang Rancangan Pembangunan Perak (RPP) 2021 hingga 2025.

- Advertisement -

Katanya, sebanyak lima padang ragut di Hulu Perak, Larut Matang dan Selama, akan dimajukan menjadikan sebanyak 19 ladang ragut menjelang 2025 berbanding 14 sekarang.

“Pertambahan padang ragut yang termasuk dalam RPP 2021 hingga 2025 membabitkan sasaran kepada 57 penternak individu yang dikenal pasti di tiga daerah berkenaan.

“Antara usaha Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Perak untuk mengeluarkan baka rusa bagi disebarluaskan ke seluruh Malaysia dan sehingga kini 90 peratus taburan rusa negara datang dari Perak,” katanya.

Razman berkata demikian kepada media selepas taklimat dan soal jawab sempena kunjungan Pesuruhjaya PAS Pahang, Ustaz Rosli Abdul Jabar ke Padang Ragut Sungai Soh A, Kampung Bukit Sapi, di sini semalam.

Rombongan dari Pahang itu turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Beserah, Andansura Rabu dan ADUN Panching, Tarmizi Yahaya.

Razman berkata, sehingga Jun lalu sebanyak 4,600 populasi rusa diternak di seluruh Perak, dengan 1,500 daripada jumlah itu diusahakan oleh 173 pengusaha berkelompok melibatkan 14 padang ragut di bawah seliaan JPV.

Sementara itu, Rosli yang juga Adun Tanjung Lumpur berkata, Pahang mempunyai kawasan tanah yang luas dan optimis ternakan rusa boleh menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negeri.

“Seperti Hulu Perak, Hulu Pahang yang merangkumi Lipis, Jerantut dan Raub mempunyai bentuk muka bumi yang sangat sesuai kerana ada kawasan hutan berbukit selain cuaca yang bersesuaian,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/9/21

- Advertisement -