Pengisytiharan Pulau Pinang milik British adalah jenayah

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR: Pulau Pinang tidak pernah dipajak, dikurnia atau diserahkan kepada mana-mana pihak melalui sebarang triti atau perjanjian bertulis.

Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK), Dr Ibrahim Bakar, berkata ini adalah berdasarkan kenyataan R Bonney dalam bukunya, ‘Kedah 1771-1821- The Search for Security and Independence’ yang ditulis pada tahun 1971.

- Advertisement -

Katanya, Bonney berhujah bahawa tiada triti persetujuan atau perjanjian bertulis berhubung perkara itu, malah tiada sebarang draf dibuat untuk penyerahan sebarang wilayah, selain tiada bukti atau rujukan dokumen dalam mana-mana rekod.

“Sultan Abdullah ketika itu hanya memberi kebenaran sementara kepada Francis Light untuk menduduki Pulau Pinang sehingga suatu masa apabila diterima jawapan yang tetap daripada East India Company,” katanya pada sidang media, kelmarin.

Berikutan itu, PSMCK mengambil pendirian menyokong kenyataan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, bahawa Pulau Pinang adalah hak milik Kedah yang sah sehingga kini.

Dr Ibrahim berkata, PSMCK menyambut baik pendirian itu serta berpandangan isu hubungan kedua-dua negeri harus dibincangkan dengan lebih serius serta melibatkan pelbagai pihak.

Katanya, Light menggunakan nama Raja England, King George III, untuk mengambil negeri itu pada 11 Ogos 1786 yang bukan sahaja melanggar undang-undang antarabangsa mengikut piawaian Eropah, malah telah menipu Sultan Kedah.

Katanya, East India Company ketika itu mengetahui bahawa Pulau Pinang adalah sebahagian daripada Kedah.

“Dia (Light) melakukan tindakan tersebut tanpa melalui sebarang perjanjian yang betul dan rasmi sedangkan pendudukan Pulau Pinang hanya sementara.

“Ia berpandukan kepada keputusan East India Company dan sebagai balasan memberikan perlindungan, tetapi atas kefahaman Sultan Abdullah jika perlindungan ini tidak diberikan, Baginda akan membatalkan perjanjian itu,” katanya.

Malah beliau berkata, pakar sejarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dato’ Dr Ahmad Murad Mohd Noor Merican, pernah memberitahu tiada dokumen pajakan atau perjanjian berlaku pada 1786 seperti yang dipaparkan di arkib Muzium Pulau Pinang ketika ini.

“Oleh itu, pengisytiharan Pulau Pinang sebagai milik British merupakan suatu jenayah kerana tidak pernah diberikan sebarang kebenaran lisan atau bertulis dan kompeni telah mencerobohi dan menduduki wilayah Kedah secara haram,” kata Dr Ibrahim.

Justeru itu, katanya PSMCK mendesak supaya kerajaan Kedah mengadakan suatu perbincangan yang serius bersama Kerajaan Pusat ke arah mengadakan suatu persefahaman baharu.

“Naratif sejarah berkenaan perlu diperbetulkan agar semua pihak perlu tahu hal sebenar berkaitan sejarah hubungan Kedah-Pulau Pinang, yang menurut Bonney, telah dipesongkan oleh Winstedt. Suatu kajian yang serius juga mesti diusahakan dengan lebih jitu untuk memperbetulkan perkara ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/9/21

- Advertisement -