Pastikan penyampaian maklumat tepat mengenai PPN, endemik

KUALA LUMPUR: Semua pihak termasuk pempengaruh media sosial perlu membantu memastikan penyampaian maklumat yang tepat mengenai perlaksanaan Pelan Pemulihan Negara ketika peralihan negara kepada fasa endemik.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata pempengaruh bertanggungjawab dalam mendidik masyarakat dengan penyampaian maklumat menerusi naratif yang tepat mengenai inisiatif-inisiatif kerajaan dalam PPN. 

Advertisement

“Mendidik masyarakat berada dalam endemik itu penting sebab kadang-kadang orang masih tidak faham…kita mesti sampaikan dengan cara yang mudah dalam berkomunikasi… ia juga boleh disampaikan oleh influencers (pempengaruh) yang mempunyai ramai followers, kalau dia turut mengambil peranan mengingatkan masyarakat mengenai peralihan ke endemik (sebagai) pemerkasaan komuniti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu dalam Segmen Optik: Pelan Pemulihan Negara menerusi program Selamat Pagi Malaysia terbitan RTM hari ini.

Selain penggunaan media konvensional seperti televisyen dan radio, Annuar berkata medium sebaran termasuk media sosial seperti TikTok dan Facebook boleh digunakan bagi menyebarkan maklumat secara berkesan sekali gus mendidik masyarakat mengenai peralihan kepada fasa endemik.

Beliau berkata sehubungan itu kementerian, agensi kerajaan dan jawatankuasa terlibat perlu menambah baik aspek penyampaian maklumat bagi memastikan keberkesanannya kepada orang ramai dengan mengadakan ‘engagement’ (libat urus) yang berterusan.

Pada 22 Sept, Annuar memaklumkan kepada Dewan Rakyat mengenai cadangan menubuhkan satu pusat kawalan komunikasi dalam usaha menyampaikan maklumat diputuskan kerajaan kepada masyarakat dengan lebih tepat, pantas dan mudah difahami.

Beliau berkata cadangan itu susulan cabaran-cabaran dihadapi dalam pelaksanaan program kerajaan yang didapati antara lain berpunca daripada maklumat salah dan maklumat palsu. – BERNAMA