Kerajaan disaran hapuskan judi – PUM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) berasa dukacita di atas perkembangan terbaru yang menyaksikan pertambahan bilangan cabutan judi yang dibenarkan di dalam negara.

Yang Dipertuanya, Dato’ al-Syeikh Abdul Halim Abdul Kadir berkata, ini sepertimana yang dinyatakan dalam jawapan yang diberikan oleh Menteri Kewangan di Dewan Rakyat yang menyebutkan keputusan kerajaan menambah kekerapan cabutan khas agensi nombor ramalan.

“PUM ingin menyatakan bantahan terhadap perkara ini kerana judi bukanlah sesuatu yang sihat untuk rakyat Malaysia yang berbilang agama dan bangsa,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

- Advertisement -

Menurutnya, ia akan membawa lebih banyak mudarat kepada rakyat negara ini yang akan terpalit dengan kegiatan perjudian dalam kehidupan mereka.

Beliau menegaskan, dari sudut pandang Islam, sudah jelas sekali bahawa judi itu, walaupun ada yang diberi lesen oleh kerajaan, hukumnya adalah haram.

Ini, jelasnya sebagaimana yang dijelaskan dalam surah Al-Maidah ayat 90, yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi, (penyembelihan untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah perkara buruk termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat kejayaan.

“Oleh yang demikian, PUM ingin mendesak pihak kerajaan agar membatalkan keputusan yang diambil untuk menambah kekerapan cabutan khas agensi nombor ramalan tersebut,” katanya.

Tambahnya, adalah lebih baik untuk kerajaan menghapuskan segala bentuk perjudian bagi menjamin kesejahteraan rakyat dan negara, tidak kira apa agama mereka sekalipun.

PUM juga, kata beliau meminta kerajaan negeri turut mengambil langkah yang sama, iaitu membanteras segala bentuk perjudian di negeri masing-masing.

“Ini kerana kami mendapat maklum bahawa terdapat juga pertambahan bilangan tempat perjudian di negeri-negeri tertentu, sama ada yang diwujudkan secara haram mahupun yang diberikan lesen operasi.

“Marilah sama-sama kita bergerak ke arah membentuk Keluarga Malaysia yang lebih sejahtera dengan menghapuskan judi,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 26/9/2021

- Advertisement -