Covid: Hanya 1.5 peratus kes kategori tiga, empat dan lima

Foto daripada Facebook Noor Hisham Abdullah.

KUALA LUMPUR: Hanya 1.5 peratus atau 201 daripada 13,104 kes baharu Covid-19 yang dilaporkan setakat 12 tengah hari tadi adalah terdiri daripada kategori tiga, empat dan lima.

Kategori tiga adalah mereka yang mempunyai radang paru-paru, empat memerlukan bantuan oksigen dan lima pula memerlukan bantuan pernafasan.

Advertisement

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata baki 12,903 kes atau 98.5 peratus adalah terdiri daripada kategori satu iaitu tidak bergejala dan kategori dua, bergejala ringan.

“Daripada jumlah kes baharu juga, lapan adalah kes import melibatkan tiga warganegara dan lima rakyat asing manakala 13,096 kes pula melibatkan penularan dalam negara iaitu 11,892 warganegara dan 1,204 rakyat asing.

“Sebanyak 20,971 kes sembuh turut dicatatkan menjadikan jumlah kes pulih sepenuhnya di negara ini ialah 1,989,512 iaitu 90.5 peratus,” menurutnya dalam kenyataan mengenai perkembangan Covid-19 hari ini.

Beliau berkata terdapat 1,058 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) merangkumi 850 yang disahkan positif Covid-19 manakala 208 lagi adalah disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan.

Katanya sebanyak 580 kes memerlukan bantuan pernafasan melibatkan 365 yang disahkan positif Covid-19 manakala 215 lagi adalah disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan.

Dr Noor Hisham juga berkata 12 kluster baharu dikesan dengan enam daripadanya berkaitan tempat kerja manakala enam lagi membabitkan penularan dalam komuniti.

Beliau berkata kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau R-naught (Rt) pada jangkaan mengikut kes harian semalam untuk seluruh negara ialah 0.91 manakala jika mengikut negeri, Pahang dan Putrajaya mencatatkan nilai tertinggi iaitu 1.02.

“Semua negeri lain mencatatkan Rt di bawah 1.0 iaitu Terengganu 0.98, Perak dan Kelantan masing-masing 0.97, Sarawak (0.96), Johor (0.95), Perlis (0.93), Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor masing-masing 0.89, Pulau Pinang (0.88), Sabah (0.86), Kedah (0.85), Kuala Lumpur (0.84) manakala Labuan (sifar),” katanya.

Dr Noor Hisham berkata data kematian akan dimuat naik dan dipaparkan menerusi laman Github dan laman sesawang COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my pada tengah malam ini.

Beliau juga berkata setakat 13 Sept lepas, sebanyak 758,919 ujian RTK-Ag (kendiri) telah dijalankan dengan 14.5 peratus atau 107,421 individu dikesan positif Covid-19. – BERNAMA