Sentiasa bersiap-siaga, selesaikan kerisauan rakyat

Oleh NURSAM MOHAMMAD

Advertisement

PUTATAN: PAS Kawasan Putatan memerhatikan akan kerisauan penduduk setempat setiap kali berlaku cuaca tidak menentu yang boleh mengakibatkan bencana banjir.

Naib Yang Dipertuanya, Tuan Haji Khairan Untoh menegaskan keperluan bantuan bencana dalam kadar segera perlu disalurkan kepada mangsa bencana banjir setiap kali berlaku.

”Tindakan pantas perlu diambil pihak berwajib dalam kerisauan penduduk yang terjejas akibat bencana banjir”, ujarnya.

Beliau menambah, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan Daerah perlu sentiasa bersiap-siaga menghadapi bencana dengan menyediakan bantuan keperluan asas dan pusat penempatan sementara.

”Sudah pasti pasca banjir akan mengakibatkan kerosakan teruk kepada tempat tinggal dan kawasan persekitaran, adalah wajar penempatan sementara yang selesa kepada mangsa banjir perlu disediakan dengan lebih awal lagi”. Tambahnya.

Khairan juga menyarankan keperluan wujudnya pelan khusus menangani isu banjir kilat di beberapa kampung yang sering dilanda banjir kilat.

Rakyat turut dinasihatkan agar sentiasa waspada terhadap sebarang kemungkinan berlaku.

“Sentiasa peka melalui media massa atau media sosial akan amaran berlakunya bencana banjir agar persiapan awal dapat diusahakan dengan segera”, tambahnya lagi.

Beliau sekali lagi menyeru agar kesemua pihak saling membantu meringankan beban rakyat yang terjejas akibat bancana alam seperti banjir ini.

Terdahulu PAS Kawasan Putatan melalui skuad sukarelawan Jabatan Amal Putatan dan Briged Muslimat Putatan telah turun membantu pembersihan pasca banjir di SK Sugud Penampang pada minggu lepas. – HARAKAHDAILY 25/9/2021