Pilihan raya PBT wujudkan jurang antara kaum

- Advertisement -

Oleh KAIROL ZULHAIDI

KUALA LUMPUR: Pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) atau ‘pilihan raya kerajaan tempatan’ tidak perlu diadakan kerana ia dikhuatiri akan mewujudkan jurang antara kaum dari sudut ekonomi, gaya hidup dan sosial, kata Ketua Penerangan PAS Pulau Pinang, Ir Ahmad Rafaei Dato’ A Rashid.

Beliau berkata, pilihan raya PBT akan membawa kepada wujudnya monopoli kaum-kaum tertentu yang banyak tinggal di bandar, seterusnya akan melebarkan jurang di kawasan bandar dan luar bandar.

- Advertisement -

Menurut beliau lagi, pilihan raya PBT pasti akan melibatkan kos yang tinggi kepada rakyat kerana ia memerlukan banyak peruntukan dan merupakan suatu pembaziran duit rakyat. 

“Justeru, pilihan raya sedia ada sudah mencukupi. Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini pun  turut menolak pilihan raya PBT ini diadakan. Hal ini jelas menunjukkan bahawa ia  tidak memberi manfaat kepada rakyat,” ujarnya kepada HarakahDaily.

Mengulas mengenai cadangan Ahli Parlimen Kota Raja-Amanah, Mohamad Sabu dalam sidang di Parlimen baru-baru ini agar pilihan raya PBT diadakan semula, Ahmad Rafaei berkata, hampir semua idea Pakatan Harapan (PH) sebelum ini tidak boleh diterima pakai dan hanya merosakkan negara. 

“Apa sebenarnya agenda PH yang mahu mengadakan pilihan raya PBT? PH mahukan kuasa besar dalam menentukan dasar, polisi dan pengeluaran pelbagai jenis lesen termasuk lesen penjualan arak, premis perjudian dan pusat hiburan,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/9/2021

- Advertisement -