PAS Temerloh ‘panaskan’ enjin Penerangan PRU15

- Advertisement -

TEMERLOH: Lajnah Penerangan dan Media Baharu PAS Kawasan Temerloh telah mengadakan sesi taklimat berkaitan teknik dan strategi penerangan serta penyampaian akan dilaksanakan ketika fasa kempen PRU15 nanti.

- Advertisement -

Program melibatkan pimpinan dan jawatankuasa semua Dewan dan Cawangan ini dilaksanakan serentak dengan pelancaran kempen ‘PAS Pilihan Kome’ yang diadakan secara dalam talian menggunakan aplikasi Zoom baru-baru ini.

Ianya bertujuan untuk meningkatkan keberkesanan sebaran maklumat dan ketika sama menghadapi segala bentuk serangan fitnah, selain meningkatkan lagi pertambahan keahlian dengan sasaran 1,000 ahli baharu menjelang Jun 2022.

Antara pimpinan utama terlibat dalam program ini adalah Ketua Penerangan PAS Negeri Pahang, Ustaz Mohd Tarmizi Yahaya dan Yang Dipertua PAS Temerloh, Md Jusoh Darus serta Ketua Penerangan PAS Temerloh, Ustaz Fairuz Hisham Nordin.

Ustaz Tarmizi yang juga ADUN Panching dalam penegasannya mengingatkan bahawa gerak kerja penerangan dan penyebaran informasi adalah tugas dan kewajiban kepada semua ahli dan pimpinan di setiap peringkat.

Manakala Ustaz Fairuz pula menekankan bahawa pengetahuan mengenai teknik dan strategi yang betul penting dalam keberkesanan memberikan maklumat serta menangkis sebarang bentuk serangan dan fitnah musuh.

“PAS Temerloh juga mensasarkan penambahan 1,000 ahli baharu pada Jun 2022 nanti,” ujarnya memperincikan langkah-langkah perlu dilaksanakan dalam menjayakan setiap teknik dan strategi tersebut.

Setiausaha PAS Temerloh, Osman Katiran berharap pelbagai insentif ditawarkan kepada PAS Cawangan-cawangan untuk menggerakkan usaha dan kempen akan mencapai objektifnya nanti. – HARAKAHDAILY 25/9/2021

- Advertisement -