Muktamar Tahunan PAS ke-67 secara hibrid

- Advertisement -

SALMAH MAT HUSAIN | FOTO RIZAL TAHIR

KOTA BHARU:
PAS buat julung kalinya akan mengadakan Muktamar Tahunan PAS Ke-67 secara hibrid pada November ini.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, parti itu akan menghadapi muktamar tahunan secara normal baru memandangkan Covid-19 masih melanda negara.

“Sebagai contoh katakanlah muktamar kita tahun ini akan diadakan di Terengganu. Ianya hanya akan dihadiri pada kadar jumlah yang dibenarkan sahaja akan hadir untuk bermuktamar di situ,” katanya.

- Advertisement -

Menurutnya, perwakilan dari negeri-negeri lain yang dianggarkan lebih 1,000 orang akan berada di negeri masing-masing.

Tambahnya, mereka akan mengikuti muktamar berkenaan secara maya, begitu juga sewaktu pemilihan.

“Insya-Allah, kita yakin kita boleh adakan dengan sistem yang ada ini (normal baru) walaupun tahun ini muktamar pemilihan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampaikan sumbangan komputer riba kepada empat pelajar cemerlang Maahad Muhammadi Perempuan di Pusat Ahli Parlimen Kota Bharu, di sini.

Para pelajar berkenaan bakal melanjutkan pengajian dalam bidang pendidikan di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZa) dan Institut Pendidikan Guru (IPG).

Takiyuddin yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Asli, berkata pada awalnya PAS memohon untuk menangguhkan muktamar tahun ini.

Jelasnya, parti itu berharap ianya dapat diadakan tahun hadapan atau selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

“Tetapi kita hanya diberi kebenaran oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) sehingga 31 Disember sahaja.

“Maknanya pemilihan mesyuarat agung atau muktamar perlu diadakan sebelum 31 Disember sahaja,” ujarnya sambil menjelaskan PAS akur dengan arahan berkenaan.

Malah tambahnya, sekarang inipun parti itu telah mengadakan mesyuarat agung di peringkat cawangan.

Menurutnya lagi, pada pertengahan bulan Oktober mesyuarat agung akan diadakan di peringkat kawasan.

Tambahnya, awal November pula akan diadakan muktamar dewan-dewan negeri dan seterusnya muktamar tahunan di peringkat pusat.

Menjawab soalan media beliau berkata, semua jawatan boleh dipertandingkan.

“Bagaimanapun ianya terpulang pada individu sama ada ingin bertanding atau sebaliknya,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 25/9/2021

- Advertisement -