Langkawi: Buat ujian saringan Covid-19 lebih awal

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

KUALA KEDAH:
Individu yang ingin melancong ke Langkawi dinasihatkan melakukan ujian saringan Covid-19 lebih awal untuk memastikan bebas daripada wabak itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Sumber Tani, Pengangkutan dan Industri Utama negeri, Azman Nasrudin berkata, walaupun ujian terbabit juga diadakan di jeti dan lapangan terbang, tindakan awal boleh mengelak mana-mana individu yang positif hadir bersama agar tidak mengundang implikasi lain.

- Advertisement -

“Di pintu masuk jeti dan lapangan terbang memang diadakan ujian saringan ini namun sekiranya pemeriksaan itu dapat diadakan sendiri lebih awal secara tidak langsung boleh mempercepatkan proses di sana dan boleh mengelak individu yang positif hadir bersama,” katanya ketika ditemui pemberita sewaktu lawatan ke Jeti Kuala Kedah, semalam.

Katanya lagi, pada hari pertama (23 September) Jeti Kuala Kedah dibuka semula setelah operasinya terhenti akibat Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Kuala Kedah, hasil ujian saringan didapati tiada pengunjung yang positif Covid-19.

Namun pada hari kedua, seramai tiga individu dikesan positif Covid-19 hasil dari ujian saringan yang dilakukan oleh petugas kesihatan di jeti terbabit.

Sementara itu, beliau mengingatkan para pelancong yang ingin ke pulau legenda itu agar mempunyai dokumen pelancongan yang sah seperti tiket penerbangan, tiket feri, resit bayaran hotel/homestay atau bayaran pakej pelancongan untuk mendapatkan surat kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Selain itu, setiap pelancongan atau pengunjung berumur 18 tahun ke atas mestilah sudah menerima dua dos lengkap vaksin Covid-19.

“Individu berumur 18 tahun di bawah  perlu datang bersama penjaga dewasa yang telah lengkap dua dos.

“Pastikan diri sendiri dan ahli rombongan sihat dan tiada gejala semasa memulakan perjalanan.  Jangan datang jika bersimptom.

“Sekiranya bergejala ketika di Langkawi, segera dapatkan rawatan di klinik berhampiran,” jelasnya lagi.

Para pengunjung juga katanya, perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan mengamalkan norma baharu sepanjang masa serta elak bersalaman atau bersentuhan fizikal dengan orang lain.

Di samping itu, ujarnya memastikan diri sendiri dan keluarga tidak berada di tempat sesak dan menghadkan pergaulan sesama ahli keluarga sahaja sepanjang tempoh berada di pulau itu.

“SOP itu bukan hanya tertakluk kepada pengunjung malah tuan rumah terutama yang bekerja di sektor pelancongan seperti hotel, Inapdesa, pengangkutan, pusat membeli belah dan lain-lain juga perlu mematuhinya seperti yang ditetapkan.

“Hanya yang sihat dan tidak bergejala sahaja dibenarkan hadir bekerja serta pastikan semua pelancong memakai pelitup muka, imbas suhu badan, imbas QR Code MySejahtera dan sanitasi tangan sebelum masuk ke premis,” nasihat Adun Lunas itu lagi. – HARAKAHDAILY 25/9/2021

- Advertisement -