Kerajaan sediakan SOP terokai mineral dan galian

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN | Foto RIZAL TAHIR

KOTA BHARU: Kementerian Tenaga dan Sumber Asli sedang menyiapkan prosedur operasi standard (SOP) berhubung penerokaan mineral dan perlombongan galian.

Perkara ini penting demi menjaga khazanah negara dan alam sekitar agar dapat dilaksanakan secara lebih sistematik.

- Advertisement -

Menterinya, Dato’ Seri Takiyuddin Hassan, berkata SOP berkenaan yang akan dikuatkuasakan di seluruh negara, termasuk berkaitan pengendalian unsur nadir bumi atau Rare Earth Element (REE) dan galian lain seperti silika dan magnesium.

“Kita sedang menyediakan SOP yang akan diguna pakai di seluruh negara. Kita tidak mahu bahan mineral yang baharu ditemui dikendalikan dengan cara tidak terurus,” katanya dalam sidang media selepas menyampaikan sumbangan komputer riba kepada empat pelajar cemerlang Maahad Muhammadi Perempuan di Pusat Ahli Parlimen Kota Bharu di sini.

Takiyuddin berkata, terdapat kira-kira 40 hektar non radioactive REE (NREE) di Perak dan kerajaan akan pastikan SOP berkenaan dilaksanakan di negeri yang mempunyai galian berkenaan.

Katanya, SOP baharu itu masih di peringkat kajian berikutan penemuan baharu REE di Perak, Kedah dan Kelantan.

Sebelum ini, katanya SOP pengendalian hasil dalam bumi tidak jelas sehingga menyebabkan berlaku kerosakan alam dan struktur bumi.

“SOP itu juga sebagai garis panduan untuk aktiviti perlombongan dan penerokaan, termasuk penggunaan jentera perlombongan. Muka bumi boleh rosak akibat penggunaan jentera yang tidak sesuai di kawasan perlombongan,” katanya.

Takiyuddin berkata, pada masa sama ini dapat mengelakkan penyalahgunaan permit dan penerokaan kawasan hutan dan muka bumi secara haram dan tidak bertanggungjawab.

Mengulas mengenai bidang kuasa tanah antara kerajaan negeri dan Persekutuan, beliau berkata tanah adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Bagaimanapun, katanya Kerajaan Persekutuan mempunyai kuasa menentukan agihan pemberian lesen mengikut Majlis Tanah Negara dan Dasar Perhutanan Negara. – HARAKAHDAILY 25/9/21

- Advertisement -