Kelemahan Barat dan Kebangkitan Islam

AUKUS...Amerika Syarikat, Britain dan Australia.
- Advertisement -

SAAT ini, kelemahan kuasa geopolitik dunia barat jelas kelihatan terutamanya dalam kalangan negara-negara Dunia Islam. Beberapa negara Dunia Islam yang dilihat cenderung kepada barat seperti Arab Saudi, UAE dan beberapa negara lagi sudah mula bertukar arah dengan mendekatkan diri sama ada kepada China, Rusia, Turki dan beberapa negara Dunia Islam lagi.

Pengunduran tentera Amerika Syarikat dan sekutunya dari Afghanistan baru-baru ini dalam keadaan kucar kacir memperlihatkan betapa lemahnya barat setelah hampir 20 tahun “menjajah“ Afghanistan yang menyaksikan kemusnahan Afghanistan dari segenap sudut. Pembangunan dan kemajuan yang dijanjikan kepada Afghanistan hanyalah palsu semata-mata.

Penumpuan dunia barat terutamanya Amerika Syarikat, Britain dan sekutunya telah beralih kepada Asia Pasifik terutamanya terhadap China termasuk Rusia di mana China ketika ini dilihat sebagai ancaman besar kepada kekuasaan imperialisme dunia barat yang mampu menggugat kedudukan mereka sebagai kuasa besar utama dunia.

Kelihatan jelas dunia barat terutamanya Amerika Syarikat dan sekutu utamanya Britain takut dengan kebangkitan China. Segala-galanya ditumpukan terhadap China mahupun Rusia baik dari sudut ketenteraan mahupun ekonomi.  Segala bentuk intimidasi termasuk sekatan, amaran dan pertarungan geopolitik termasuk membawa pertarungan tersebut ke halaman China tidak langsung dihiraukan China malah China dengan berani menentangnya secara terbuka.

- Advertisement -

Demi untuk menutup kelemahan mereka, Amerika Syarikat dan sekutunya mempelopori “Quad Nation“, satu kumpulan 4 negara di ketuai Amerika Syarikat yang dianggotai oleh India, Jepun dan Australia bertujuan untuk menyekat kekuasaan dan pengaruh China di Asia Pasifik dan Laut China Selatan sekali gus memperkukuh jaringan keselamatan di Asia Pasifik bagi menentang China.

Jaringan keselamatan yang bertujuan untuk menyekat China daripada melebarkan kekuasaannya di Laut China Selatan dan kepulauan sekitarnya termasuk Taiwan dikuatkan lagi dengan kehadiran kapal-kapal pengangkut pesawat daripada Amerika Syarikat dan Britain, kapal perang dan frigat dari Amerika Syarikat, Britain dan India termasuk rondaan berterusan jet pejuang dan pesawat pengintip daripada Amerika Syarikat.

Kumpulan negara “Quad Nation“ ini tidak hanya bertujuan untuk menyekat pengaruh dan kekuasaan China, ia juga mempunyai tujuan untuk menyekat perkembangan kekuasaan ekonomi China di dunia, contohnya seperti bekalan chip semi konduktor yang semakin berkurangan di dunia ketika ini di mana negara-negara “Quad Nation“ bersepakat untuk mengeluar dan membekal cip-cip semi konduktor kepada sesama mereka selain negara sekutu mereka dan menyekat bekalan kepada China.

Syarikat multinasional dan gergasi China seperti Huawei dan beberapa syarikat lagi dikenakan pelbagai sekatan daripada menjalankan perniagaan di Amerika Syarikat dan Eropah selain daripada pelbagai barangan berteknologi tinggi dikenakan larangan eksport ke China dari Amerika Syarikat dan Eropah yang bertujuan untuk membantutkan perkembangan ekonomi dan perindustrian berteknologi tinggi China termasuk yang berasaskan keselamatan dan ketenteraan.

Tidak cukup dengan “Quad Nation“, baru-baru ini Amerika Syarikat mengumumkan satu lagi pembentukan kumpulan tiga negara yang digelar “AUKUS“, iaitu di antara Amerika Syarikat, Britain dan Australia yang secara lebih spesifik ia adalah kerjasama keselamatan dan ketenteraan di rantau Asia Pasifik untuk menghalang perkembangan kekuasaan geopolitik China.

Berkemungkinan pembentukan AUKUS ini adalah untuk melonggarkan penyertaan Jepun dan India dalam menghadapi China di mana Jepun dan India masih lagi mempunyai hubungan ekonomi yang kuat dengan China. Syarikat-syarikat multinasional Jepun masih lagi beroperasi di China dan jika China bertindakbalas terhadap syarikat-syarikat tersebut, ia mampu mengakibatkan kerugian besar dan menyahstabilkan ekonomi Jepun.

Begitu juga India di mana syarikat-syarikat multinasional China mempunyai pelaburan yang besar di India. Jika China bertindak balas, India akan mengalami kerugian yang besar dan juga akan menyebabkan pertempuran besar boleh berlaku di sempadan kedua-dua negara yang sememangnya menjadi zon konflik ketika ini. Walaubagaimanapun, India dan Jepun bukan lawan China dari sudut ketenteraan, oleh disebabkan itu berkemungkinan India dan Jepun tidak menyertai AUKUS.

Namun begitu penubuhan AUKUS ini telah mencetuskan kebimbangan ramai penganalisa geopolitik dunia dan pakar ketenteraan. Ini kerana sejurus diumumkan penubuhan AUKUS, Australia membatalkan tempahan kapal selam Perancis yang berjumlah lebih 50 bilion Euro dan menandatangani perjanjian pembelian kapal selam berkuasa nuklear daripada Amerika Syarikat.

Kebimbangan itu berteraskan bahawa dengan pembelian kapal selam berkuasa nuklear dari Amerika Syarikat oleh Australia, ia akan meningkatkan lagi perlumbaan senjata nuklear di rantau Asia Pasifik dan berkemungkinan akan mencetuskan peningkatan konflik dengan China. Sebagaimana dijangka, China membidas penubuhan AUKUS dan pembelian kapal selam nuklear oleh Australia.

Di luar daripada jangkaan, Perancis dengan keras mengecam tindakan Amerika Syarikat dan Australia di samping memanggil pulang dutanya dari Washington dan Canberra. Dengan disokong Kesatuan Eropah, Perancis menggangap tindakan Australia yang membatalkan perjanjian pembelian kapal selam dan perbuatan “sabotaj“ Amerika Syarikat sebagai menikam rakan dari belakang dan seterusnya mencetuskan situasi yang berkemungkinan Amerika Syarikat dan sekutunya tidak mendapat sokongan padu negara Kesatuan Eropah bagi menghadapi China.

Ini sudah semestinya memberikan kesan buruk kepada AUKUS dan Quad Nation kerana tanpa sokongan negara-negara Kesatuan Eropah, usaha mengekang perluasan pengaruh dan kekuasaan China tidak mungkin berjaya atau mengambil masa yang lebih lama. Walaupun ketika ini ada usaha untuk memperbaiki hubungan tersebut, nampaknya keadaan menjadi semakin dingin dan membimbangkan.

Apa sekalipun yang berlaku ketika ini terutamanya ketakutan barat terhadap kebangkitan China dan sekutu kuatnya Rusia serta peralihan penumpuan dari Asia Barat ke Asia Pasifik, Dunia dan umat Islam ketika ini seharusnya mengambil peluang untuk memulihkan hubungan dan perpaduan sesama negara Dunia Islam di samping menguatkan lagi pengaruh Dunia Islam di serata dunia.

Sewajarnya ketika inilah Dunia Islam meniti jalan untuk membina kembali kekuatan, kesatuan dan keakraban sesama negara Dunia Islam kerana sejak kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah pada 1922, negara-negara Dunia Islam seperti telah kehilangan kekuatan dan arah tuju yang menyebabkan peperangan, penindasan dan perseteruan sesama sendiri seterusnya menjadikan Islam dan umatnya berada di zaman kegelapan dan kehinaan selama hampir 100 tahun.

Hampir 100 tahun lamanya Islam dan umatnya dipandang hina dan keji, sampai masanya Islam dan umatnya bangkit kembali. Tetapi Dunia Islam dan umatnya tidak sedar dengan kekuatan yang mereka ada jika bersatu dan berkerjasama namun saat ini kekuatan yang ada digunakan untuk bersengketa, berperang dan menindas sesama sendiri.

Kali terakhir Dunia dan umat Islam menggunakan kekuatannya telah menimbulkan ketakutan kepada dunia barat dan hampir melumpuhkan ekonomi mereka.  Ketika itu berlakunya krisis minyak mentah sedunia pada tahun 1973 akibat dari “Embargo“ minyak mentah sedunia yang dilakukan oleh Arab Saudi dan negara-negara pengeluar minyak mentah di kalangan negara Dunia Islam terhadap negara-negara yang menyokong regim zionis Israel ketika berlakunya perang Yom Kippur atau perang Arab-Israel 1973.

Amerika Syarikat, Britain, Kanada, Belanda, Jepun, Portugal, Afrika Selatan dan beberapa negara lagi berdepan dengan kegawatan ekonomi yang kemudiannya berjangkit ke hampir seluruh dunia. Harga minyak mentah dari USD3 melambung naik 300 peratus kepada USD12 di seluruh dunia. Ia seterusnya menggoncang geopolitik dan ekonomi dunia hingga mencetuskan kegawatan ekonomi.

Minyak mentah digunakan sebagai senjata mengejutkan dunia barat. Ketika itu kelihatan Dunia Islam seakan-akan bersatu menentang regim zionis Israel dan pendokong – pendokongnya terutamanya Amerika Syarikat dan Britain. Ketika itu Arab Saudi di pimpin oleh Al Malik Faisal dan Ahmad Zaki Yamani menjadi Menteri Minyak dan Sumber Asli Arab Saudi menjadi muka hadapan keberanian menentang kezaliman terhadap Palestin dan hipokrasi dunia barat.

Namun itulah kali terakhir Dunia Islam kelihatan bersatu, selepas itu hanya kegelapan dan kehinaan. Lebih 40 tahun berlalu, Dunia Islam sebenarnya lebih kuat dan tidak hanya bergantung kepada minyak mentah mahupun gas asli semata-mata. Bukan mengumpulkan kekuatan untuk membalas dendam tetapi lebih kepada untuk mengembalikan hak, maruah dan jatidiri Islam yang telah tercalar sejak sekian lama.

Negara Dunia Islam banyak yang telah maju, ada yang menjadi pusat kewangan, negara perindustrian, pusat pelancongan, mempunyai banyak sumber asli selain minyak mentah dan gas seperti mineral dan alam semulajadi, pengeluar peralatan ketenteraan, teknologi maklumat, applikasi dan telekominukasi serta banyak lagi, tidak hanya bergantung kepada minyak mentah semata-mata seperti 50 tahun dahulu.

Negara Dunia Islam mempunyai Bank Pembangunan Islam yang berpengkalan di Jeddah, Arab Saudi. Dengan ekonomi negara-negara Dunia Islam yang cukup besar ketika ini, ia seharusnya mampu membantu negara-negara Dunia Islam yang miskin seperti di Afrika tetapi mempunyai sumber asli yang mampu dibangunkan untuk membantu negara tersebut daripada berterusan dirompak oleh kapitalis-kapitalis barat yang tidak berhati perut.

Tentera-tentera negara Dunia Islam sebenarnya besar dan kuat jika berkerjasama dan melindungi sesama sendiri malah lebih daripada mampu untuk melindungi Masjidil Aqsa dan rakyat Palestin daripada terus dizalimi rejim zionis Israel. Tetapi ketika ini, muncung rifel mahupun senjata negara Dunia Islam dihalakan kepada sesama sendiri.

Negara Dunia Islam ketika ini sebenarnya kuat dan lebih daripada mampu untuk menangani sebarang konflik dan permasalahan berbangkit jika bersatu padu dan berkerjasama. Kuat dari segenap sudut baik dari segi ekonomi, ketenteraan dan kekuasaan geopolitik, malah lebih kuat dari mana-mana pertubuhan dan kesatuan di dunia ini. Kelemahan ketara ketika ini hanyalah tidak bersatu padu dan bercakaran sesama sendiri.

Di saat barat lemah ketika ini, wajarlah negara-negara Dunia Islam menilai kembali sejarah kejatuhan Islam sejak 100 tahun lalu dan kebangkitan terakhir hampir 48 tahun lalu. Adakah wajar Dunia Islam terus berada dalam kelemahan atau sudah sampai masanya Dunia Islam bangkit kembali mencapai kegemilangan sebagaimana umat-umat terdahulu.

khalil

Jawapannya, Dunia Islam perlu bangkit, bersatu padu dan berkerjasama menebus kembali hak, maruah dan jatidiri yang telah tercalar. Dunia Islam sebenarnya telah kuat, lebih kuat dari sebelumnya jika kembali bertaut atas nama Islam yang sebenar. Sudah sampai masanya Islam kembali ke kemuncak seterusnya memartabatkan kembali sebagai umat teragung di dunia.

Semoga Allah SWT memakbulkan doa kita semua dan menyatukan kembali umat Islam di seluruh dunia insya-Allah.

Islam Memperkukuh Perpaduan

YB USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat
ADUN Batu Buruk – HARAKAHDAILY 25/9/2021

- Advertisement -