Harakah hargai sumbangan bekas pekerja

Noor Nadiah ketika hadir memberi sumbangan kepada Abdul Habib di Gombak, Selangor.
- Advertisement -

Oleh KAIROL ZULHAIDI

KUALA LUMPUR: Pihak Harakah melalui Tabung Harakah Prihatin meneruskan pemberian sumbangan barangan keperluan asas dan wang tunai kepada bekas pekerja Harakah yang telah lama menabur bakti kepada syarikat.

Pegawai Sumber Manusia Harakah, Noor Nadiah Mohamed Nor berkata, sumbangan yang diberikan ini bertujuan untuk menghargai jasa bekas pekerja Harakah serta menunjukkan rasa prihatin terhadap mereka.

- Advertisement -

“Kali ini, Harakah meneruskan sumbangan kepada bekas pekerja Harakah yang tinggal di sekitar Gombak bagi memastikan kebajikan pekerja sentiasa terjaga,” ujarnya.

Mereka yang menerima sumbangan menerusi Tabung Prihatin Harakah kali ini melahirkan rasa syukur sehingga ada yang menitiskan air mata kerana terharu, sebaik kediaman mereka dikunjungi wakil Harakah.

Fauzah Minsawi, 62, yang kini merupakan seorang suri rumah berkata, dia bersyukur dengan sumbangan yang diberikan di samping teruja dapat berjumpa kembali dengan bekas rakan-rakan sekerja di Harakah yang telah lama tidak ditemui. 

Menurutnya, dia begitu gembira dapat bertemu dengan bos lamanya dan berterima kasih kepada sumbangan yang diberikan atas tanda ingatan.

Fauzan Minsawi (kiri) terharu menerima sumbangan daripada wakil Harakah, Noor Nadiah.

“Saya tidak sangka dapat bertemu dengan rakan sekerja lama di Harakah dan begitu teruja dengan sumbangan yang diberikan.

“Saya telah bekerja selama kira-kira lapan tahun di Harakah sejak tahun 2010 lagi sebagai cleaner dan pertemuan ini dapat menggamit memori lama ketika bekerja di sana,” katanya yang telah kematian suami dan seorang anak lelaki. 

Sementara itu penyelia pengeluaran, Suhaila Ishak, 48, berkata dia gembira dan bersyukur  dengan sumbangan yang diberikan pihak Harakah.

“Terima kasih atas tanda ingatan kepada saya walaupun telah lama tidak berkhidmat di Harakah. Sebelum ini saya telah berkhidmat di Harakah selama 10 tahun dari 1993 sehingga 2003 bermula daripada jawatan kerani kewangan sehingga menjadi pegawai kewangan di Harakah.

“Alhamdulillah, walaupun sedikit terkesan, namun saya masih boleh meneruskan kehidupan pada waktu pandemik Covid-19 ini kerana saya masih mempunyai pekerjaan,” ujarnya kepada HarakahDaily.

Suhaila Ishak (dua dari kanan) gembira menerima kunjungan wakil Harakah di kediamannya di Taman Melewar, Gombak.

Dalam pada itu, seorang lagi bekas pekerja Harakah, Abdul Habib Abdul Hamid, 54,yang kini sudah bersara pula berkata, dia teruja dengan sumbangan yang diberikan kerana masih mengingati dirinya dan dapat merapatkan lagi hubungan yang terjalin.

“Sebelum ini saya bekerja di bahagian pentadbiran selama 15 tahun. Begitu banyak kenangan di Harakah yang sukar untuk saya lupakan kerana nilai-nilai kekeluargaan kuat yang terjalin di Harakah,” ujarnya.

Katanya lagi, dia menasihati orang muda agar sentiasa membetulkan matlamat dalam bekerja dan menanamkan niat bekerja kerana Allah S.W.T – HARAKAHDAILY 25/9/2021

- Advertisement -