Vaksinasi: Titah Sultan Selangor wajar dipatuhi

Oleh NORHANA MAT ZIN

KUALA LUMPUR:
Kedukacitaan dan kekecewaan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj terhadap kakitangan institusi agama Islam termasuk guru-guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) ada asasnya apabila mereka enggan dan menolak pengambilan vaksinasi Covid-19.

Pesuruhjaya PAS negeri, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi mengakui bahawa wabak Covid-19 adalah sesuatu yang sangat serius hingga membawa kematian.

Advertisement

Menurut beliau, program imunisasi yang dijalankan untuk mencapai imuniti kelompok adalah suatu usaha bagi mengekang wabak Covid-19 di Malaysia khususnya di Selangor.

Katanya, trend yang berlaku kini menunjukkan kes-kes yang parah iaitu stage 4 dan 5 semakin menurun, begitu juga kemasukan ke hospital dan unit rawatan rapi (ICU) jelas berkurangan.

Menurut beliau, walaupun vaksinasi tidak menghalang jangkitan dan perebakan tetapi ianya akan membantu ketahanan badan agar jangkitan tidak parah yang berakhir dengan kematian.

Beliau yang juga doktor perubatan kesal dengan sikap segelintir guru Kafa yang menolak pengambilan vaksinasi.

Katanya, mereka ibarat mementingkan diri sendiri dan tidak menjadi contoh yang baik kepada pelajar dan masyarakat.

“Mereka ini sekiranya terjangkit Covid-19 sudah tentu akan menambah bebanan tugas frontliner terutamanya dari Kementerian Kesihatan yang sudah keletihan.

“Jika mereka ini menjadi punca akan berlaku lagi Covid-19 sehingga menimbulkan keletihan frontliner KKM tidak mustahil ia akan melumpuhkan sistem kesihatan negara kita,” katanya.

Bagi mengelakkan institusi agama menjadi fitnah kepada masyarakat Islam beliau menyarankan agar semua penjawat institusi Islam negeri mematuhi titah Sultan Selangor.

“Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Vaksinasi adalah usaha kita selepas berdoa agar Allah SWT akan menarik semula wabak ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/9/2021