Rakyat lega kerajaan tampung kenaikan kos ibadat haji

Suriani Abdullah
- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Pelbagai pihak menarik nafas lega apabila kerajaan memberi jaminan akan mengekalkan subsidi jemaah yang bakal mengerjakan ibadat haji tahun ini, biarpun berlaku kenaikan kos oleh kerajaan Arab Saudi.

Suriani Abdullah, 38 menzahirkan rasa syukur kerana kebanyakan anak muda tidak mampu membayar keseluruhan kos tambahan haji yang dikenakan kerajaan Arab Saudi di musim sekarang.

“Alhamdulillah, Allah telah memilih saya untuk pergi menunaikan haji dua tahun lalu melalui perkhidmatan yang disediakan Tabung Haji.

- Advertisement -

“Apabila kerajaan umum akan masih kekalkan subsidi memang suatu yang melegakan kerana kita hanya perlu membayar RM9,980 sahaja berbanding jumlah sebenar yang tidak semua orang mampu,” katanya di sini.

Menurutnya juga jika berpeluang biarlah dapat pergi menunaikan ibadah itu di usia muda kerana di samping menunaikan ibadah, jemaah juga dapat memberi bantuan kepada golongan warga emas.

“Kalau boleh kita pergi waktu muda, sebab boleh beri bantuan terutamanya kepada jemaah golongan warga emas yang seusia ibu bapa kita.

“Lebih-lebih lagi, di musim pandemik ini, tidak semua orang akan mampu untuk pergi menunaikan haji kerana tuntutan kehidupan yang semakin menekan sekarang,” katanya lagi.

Hapis Hanafi

Hapis Hanafi, 31 juga menzahirkan perasaan serupa kerana walaupun di waktu kerajaan terpaksa berhadapan dengan masalah ekonomi negara namun masih tetap mengutamakan kebajikan rakyat.

“Walaupun kos haji semakin meningkat, tetapi kerajaan tetap mengekalkan harga subsidi kepada jemaah khasnya tahun ini. Sedikit sebanyak ia dapat meringankan beban kewangan jemaah haji di musim,” katanya.

Bagi Noor Seri Osman, 53 pula, langkah kerajaan itu akan memberi semangat kepada pencarum supaya kekal mencarum dengan Tabung Haji, malah menambah kepercayaan untuk pencarum baru.

“Ia juga sebagai satu tanggungjawab sosial yang sepatutnya ditambah bukan dikurangkan.

Noor Seri Osman

“Insya-Allah perkara ini akan menambahkan lagi semangat umat Islam untuk menabung dan menjadikan Tabung Haji sebagai saluran mereka menunaikan ibadah tersebut,” katanya.

Baru-baru ini, Timbalan Menteri Hal Ehwal Agama, Dato’ Ahmad Marzuk Shaary memberitahu kerajaan memberi jaminan mengekalkan subsidi jemaah haji biarpun kerajaan Arab Saudi menaiki kos ekoran pandemik Covid-19. – HARAKAHDAILY 24/9/2021

- Advertisement -