Privasi yang cuba dikaburkan dalam pendidikan seksualiti

- Advertisement -

ISU iklan Libresse baru-baru ini, dilihat cuba mengaburkan perbezaan antara isu pendidikan seksualiti atau kempen kebersihan dan isu normalise apa yang sepatutnya perkara privasi.

Dalam soal menuntut ilmu, perkara yang asalnya taboo dalam perbualan rutin boleh menjadi suatu ibadah. Perbuatan menuntut ilmu, mengamalkan ajaran agama, menghilangkan kejahilan adalah amal soleh yang terpuji dalam Islam. 

- Advertisement -

Apabila isu yang awalnya taboo ini memasuki ranah soal jawab ilmiah, maka tidak timbul istilah malu tak bertempat, menutup pintu ilmu, menyekat agenda kesedaran dan sebagainya.

Sebagai contoh;

Muslimat semenjak era Rasulullah S.A.W tidak ke hulu ke hilir berbual mengenai alat kelamin kononnya tidak perlu dimalu-malukan, kerana kata orang yang terlampau terbuka hari ini, ia hanyalah organ seperti anggota badan kita yang lain.

Akan tetapi, di hadapan al-haq dan atas tujuan ilmu, Muslimat al-Ansar menyatakan dengan jelas dan terang, bahawa Allah S.W.T tidak malu terhadap kebenaran. 

Sikap serius belajar, semangat mencari ilmu dan tahu membezakan ruang dan tempat berbicara hal taboo yang diamalkan mereka ini dipuji oleh Ummul Mukminin, Saidatina Aisyah R.A.

Kata beliau: 

نعم النساء نساء الأنصار لم يمنعهن الحياء أن يتفقهن في الدين

“Sebaik-baik wanita adalah wanita Ansar. Sifat malu tidak menghalang mereka mendalami agama.”

Pujian itu terkait peristiwa yang diceritakan oleh Ummu Salamah R.A, ketika Ummu Sulaim R.A bertanya pada Rasulullah perihal isu kewanitaan di sisi Fiqhul Islami

جاءت أم سليم إلى رسول الله صلى الله عليه وسلم فقالت: يا رسول الله إن الله لا يستحيي من الحق فهل على المرأة من غسل إذا احتلمت؟ قال النبي صلى الله عليه وسلم:” إذا رأت الماء” 

“Wahai Rasulullah, sesungguhnya Allah tidak malu menyatakan kebenaran. Maka apakah seorang wanita wajib mandi jika dia bermimpi? Jawab Rasulullah S.A.W, “Ya wajib, apabila dia melihat air.”

Asbab soalan Ummu Sulaim tersebut para Sahabiah yang lain turut mendapat ilmu baharu. Hadis bersambung dengan soalan oleh pendengar yang lain dan sekali lagi para Sahabiah mendapat ilmu baharu asbab soalan-soalan tersebut. Semoga Allah meredhai mereka semua.

Kelmarin ada satu diskusi santai di clubhouse bertajuk ‘Libresse V Kebaya. Did they cross the line?’

Ketika host menemu ramah speaker dan kemudiannya sesi bertukar pandangan sesama listener lain, tidak sedikit yang cuba pertahankan iklan tersebut sebagai wajar, tidak melanggar batas. Ada pula liberalis dari Indonesia triggered dengan pandangan yang diutarakan salah seorang peserta, lalu mula bercakap tanpa beri ruang host mencelah. Katanya Islam ini ajaran patriarki, kerana itu wanita dalam Islam sering terpinggir dan harus menyembunyikan identiti mereka yang sebenar (alat kelamin?).

Terlalu banyak syubuhat atau pertikaian oleh kelompok aliran tersebut yang kami berpandangan, sangat penting untuk diluruskan kembali. Awal-awal perbahasan lagi host bertanya, lebih kurang maksudnya begini:

“Susah nak cakap benda-benda ni dalam budaya ketimuran ditambah lagi ajaran orang agama yang selalu menyuruh supaya diam dan jangan bertanya.”

Sebenarnya ini silap faham yang berleluasa dalam kalangan umat. Boleh jadi terhasil dari asuhan orientalis, juga tidak mustahil akibat terkesan ajaran paderi zaman gelap yang khianat kepercayaan penganut agama mereka lalu mula mendiamkan orang bawahan kerana tidak mampu menjawab penyelewengan mereka. Tambahan pula isu kejahilan orang agama yang tidak kompeten tapi malu mengaku tidak tahu. Untuk menutup kejahilan mereka dan berlakon seolah-olah mereka alim serba serbi, mulalah ajaran ‘jangan banyak tanya’.

Sikap negatif tersebut bertentangan dengan ajaran al-Quran yang memerintahkan agar umat Islam bertanya jika mereka tidak mengetahui sesuatu. Syaratnya, rujuk pada yang ahli. Galakan bertanya dan tidak malu belajar ini disimpulkan ringkas dalam kata-kata Imam Mujahid:

وقال مجاهد : لا يتعلم العلم مستحي ولا مستكبر .

“Dua golongan yang tidak akan belajar; 1. Orang yang malu. 2. Orang yang sombong.”

Benarlah kata beliau, semoga Allah merahmatinya. Isu iklan Libresse ini bukan pertama kali usaha menyeru wanita agar bersikap tak malu tak kira tempat atau kempen buka aurat wanita.

Dahulu ada rancangan 3R oleh TV3, satu episod dengan tajuk Period, kononnya tujuan pendidikan tapi berlangsung seolah-olah tanpa kawalan dan garis panduan. Kemudian kempen #keretapisarong pula. Semua ini penting direkodkan sebagai rujukan untuk kajian topik liberalisasi di Malaysia. Akan datang kita usahakan grup Clubhouse bagi menerangkan isu-isu pemikiran pula, insya-Allah. Semoga Allah melindungi kita.

SOFIA ALWANI ALI
24 September 2021 – HARAKAHDAILY 24/9/2021

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100000386455844/posts/4551886418167528/

- Advertisement -