Pemaju perumahan mengeluh harga bahan binaan melonjak

- Advertisement -

Oleh RIZAL TAHIR

KOTA BHARU:
Pemaju perumahan berdepan dengan kesukaran berganda apabila harga bahan-bahan binaan sekarang melonjak tinggi, ketika industri itu baru beroperasi.

Kenaikan harga bahan binaan terutamanya besi dan aluminium berpunca lonjakan harga pasaran global.

Harga besi rebar pada 1 Mac 2020 ialah RM2,150/tan dan aluminium RM7,150/tan melonjak kepada RM3,750/tan besi dan RM12,100/tan aluminium sekarang.

- Advertisement -

Timbalan Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) Malaysia Negeri Kelantan Dato’ Samsuri Awang Mat berkata, begitu juga harga bahan binaan seperti pasir, batu kuari dan simen meningkat sehingga 30 peratus.

Katanya kenaikan harga binaan tempatan itu berpunca stok bekalan yang terhad kerana pembekal masih tidak dapat beroperasi sepenuhnya.

“Ada juga pemaju mendakwa mereka sukar mendapatkan barangan tempatan berikutan tiada stok. Turut mengalami kenaikan harga bahan paip antara 20 hingga 30 peratus dan bahan am perkakasan binaan rumah antara 10 hingga 15 peratus.

“Jika kerajaan gagal menyekat kenaikan harga barang tersebut di masa akan datang, harga rumah akan mengalami kenaikan dan sudah tentu akan membebankan pembeli,” katanya di sini.

Malah katanya pembinaan rumah mampu milik juga akan menjadi lebih sulit dan ditambah kesukaran bakal pembeli untuk mendapatkan pembiayaan daripada institusi keewangan.

Industri perumahan di Kelantan kini mula beroperasi setelah memasuki Pelan Pemulihan Negara (PPN) fasa kedua.

Samsuri juga berkata, dalam usaha meneruskan kelangsungan hidup pemaju perumahan memulakan kerja-kerja yang terhenti hampir setahun setengah bagi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19.

Menurutnya berdasar maklum balas pemaju perumahan berlesen mereka mengalami kerugian akibat tidak dapat beroperasi dalam tempoh begitu lama.

“Dan setelah beroperasi pemaju pula terpaksa menanggung beban lebih besar apabila harga barangan meningkat sehingga ada yang mencecah 50 peratus, tiada stok bahan binaan dan tidak dapat bekerja secara optima kerana kekangan tenaga pekerja.

“Dalam masa yang sama bagi mematuhi SOP sektor pembinaan, pemaju turut menghadapi masalah mendapatkan tenaga kerja yang telah menerima dos vaksin lengkap yang menghadkan kadar beroperasi,” ujarnya.

Kata beliau juga pemaju terpaksa membelanjakan kos tambahan untuk ujian RTK Antigen ke atas pekerja yang perlu dilaksanakan setiap dua minggu.

Beliau berkata, pemaju juga terpaksa menimbang kos menyediakan penginapan pekerja yang diluluskan di tapak bina kerana masih belum ada kemudahan menempatkan pekerja di Kuarters Pekerja Berpusat (CLQ) yang diluluskan di negeri ini.

“Situasi ini sangat memberikan kesan kepada ahli-ahli REHDA Kelantan kerana harga bahan binaan terus menunjukkan ke arah peningkatan sejak awal tahun ini.

“Dalam masa yang sama, pemaju juga menghadapi peningkatan kos dalam menguruskan tenaga kerja,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/9/2021

- Advertisement -