Isu nasional jadi tumpuan Dewan Rakyat

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Penggulungan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad, malam tadi, mengakhiri perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja yang bermula Rabu lalu dengan permulaannya oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Sejak bermula pada 14 September lalu, seramai 91 Ahli Parlimen mengambil bahagian dalam sesi pertanyaan menteri, perbahasan dan penggulungan oleh menteri dari 27 kementerian.

- Advertisement -

Pelbagai isu dibangkitkan, sama ada yang berstatus nasional mahu pun tempatan yang biasanya berkaitan masalah atau pembangunan di kawasan Parlimen masing-masing, manakala jawapan diberikan oleh menteri atau timbalan menteri berkaitan.

Dari segi isu nasional, antara kementerian yang menjadi tumpuan ialah Kesihatan, Dalam Negeri, Pendidikan dan Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang).

Ini dapat difahami kerana sebagai contoh, Kementerian Kesihatan menangani isu berkaitan Covid-19. Lantas banyak soalan ditanya sehingga masa yang diperuntukkan tidak mencukupi memaksa Yang Dipertua Dewan Rakyat atau timbalannya menambah masa.

Begitu juga ramai Ahli Parlimen mencelah untuk mengemukakan pertanyaan, sekali gus menyebabkan keadaan agak `meriah’ ketika sesi pertanyaan dan penggulungan kementerian berkenaan.

Antara isu Kementerian Kesihatan ialah kuarantin kendiri di rumah, kematian di luar hospital (BID), tunggakan pelaporan kes kematian dan imuniti kelompok.

Bagi Kementerian Dalam Negeri, antara isu hangat ialah masalah ibu mendapatkan kerakyatan untuk anak mereka yang lahir di luar negara dan mempunyai bapa bukan warga Malaysia serta dakwaan bahawa polis tidak menyiasat kes penahanan tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan.

Kementerian Pendidikan pula hangat dengan pelbagai isu seperti sistem penggiliran murid di sekolah, keberkesanan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dan kesukaran pelajar mendapat akses internet.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, pula menghadapi soalan bertalu-talu mengenai pelbagai isu hangat seperti Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti dan Undi 18.

Tiga Menteri dari PAS, terutama Idris turut menjadi tumpuan kerana sesi Dewan Rakyat kali ini adalah kali pertama beliau sebagai menteri, manakala Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Dato’ Seri Takiyuddin Hassan, sudah beroleh pengalaman demikian sebelum ini.

Idris melakukan dengan baik ketika sesi soalan lisan sebelum ini dan menggulung perbahasan berhubung isu pelaksanaan solat dan aktiviti masjid serta dakwah dan pendidikan Islam, malam tadi, walaupun ada sedikit gangguan pada peringkat awal.

Tuan Ibrahim kelihatan serasi dengan kementerian yang penuh dengan isu sains dan teknikal, manakala Takiyuddin walaupun kini beralih kementerian, tidak berdepan masalah menangani isu penting berkaitan perhutanan, termasuk berdepan Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, dalam isu kepala air di Gunung Jerai.

Kebolehan dan kewibawaan seorang menteri ketika persidangan Parlimen boleh diukur berdasarkan pengetahuan terhadap isu yang ditanya, sekali gus boleh menjawab soalan dengan baik dan tenang ketika diasak Ahli Parlimen yang gemarkan pendekatan provokatif.

Ketiga-tiga menteri berkenaan dan timbalan menteri serta semua Ahli Parlimen PAS yang mengemukakan soalan dan berbahas, berjaya melalui tempoh dua minggu ini dengan baik.

Sementara itu, Rang Undang-Undang Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (Pindaan) 2021 adalah satu-satunya yang dibentang bagi bacaan kali pertama dalam tempoh dua minggu persidangan.

Sidang bersambung Isnin ini dengan pembentangan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob.- HARAKAHDAILY 23/9/21

- Advertisement -