ECRL: Kuota 70 peratus untuk tenaga kerja tempatan

- Advertisement -

SAYA mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Menteri Pengangkutan, Dato’ Seri Wee Ka Siong yang telah menjawab soalan saya dalam perbahasan Usul Menjunjung Titah Kasih Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 22 September 2021 berkenaan pengisian kuota sebanyak 70 peratus oleh tenaga kerja tempatan dalam Projek East Cost Railways Link (ECRL) seperti dijanjikan oleh China Communications Construction Company (CCCC) sebagai kontraktor dalam projek ini.

Parlimen dimaklumkan bahawa sehingga Ogos 2021, sebanyak 2,827 orang warga tempatan telah diambil untuk menjadi sebahagian tenaga kerja bagi projek mega ini. Jumlah ini mewakili sebanyak 44 peratus daripada jumlah keseluruhan tenaga kerja dalam projek ini seramai 6,415 orang.

- Advertisement -

Yang Berhormat Menteri Pengangkutan juga memberi jaminan bahawa keperluan tenaga kerja tempatan akan meningkat sehingga 70 peratus kuota pada tahun 2022-2023 seiring dengan perkembangan pembinaan yang bakal mencapai tahap kemuncak pada waktu itu.

Jemaah Menteri pada 23 September 2020 juga telah bersetuju untuk menubuhkan jawatankuasa khas yang diurusetiakan oleh Kementerian Pengangkutan bagi memantau penyertaan kontraktor tempatan dan Bumiputera diisi seperti mana telah termaktub dalam klausa dokumen Engineering Procurement Construction Commissioning (EPCC) oleh China Communications Construction Company (CCCC).

Saya menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kementerian Pengangkutan kerana mengambil serius terhadap isu ini bagi memastikan rakyat tempatan mendapat manfaat dari segi peluang pekerjaan dan pengalaman teknikal dalam pembinaan projek terbesar di negeri-negeri Pantai Timur ini.

Saya juga meminta kepada pihak Kementerian Pengangkutan untuk terus memantau perkembangan pengisian kuota 70 peratus ini agar klausa perjanjian ini benar-benar dipatuhi oleh pihak kontraktor berikutan penglibatan ribuan anak muda tempatan dalam projek ini mampu mengubah nasib mereka yang berpotensi untuk menabur bakti pula kepada projek-projek mega lain di dalam negara kita.

“Islam Memperkukuh Perpaduan”

YB TUAN WAN HASSAN MOHD RAMLI
Ahli Parlimen Dungun – HARAKAHDAILY 24/9/2021

- Advertisement -