Bermuafakatlah ummah mendukung RUU355

- Advertisement -

RAMAI yang menarik nafas lega baru-baru ini apabila Perdana Menteri dalam jawapan bertulisnya di Parlimen menyatakan bahawa kerajaan sedang mempergiat usaha mendraf Rang Undang-undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2021 atau RUU355 bagi meningkatkan bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah.

Tambah Perdana Menteri lagi setelah RUU355 dimuktamadkan kelak, ia akan dibentangkan kepada negeri-negeri dalam Persidangan Penyelarasan Undang-undang Syarak dan Sivil. Inilah Rang Undang-undang yang dibawa oleh Ahli Parlimen Marang yang juga Presiden PAS sebagai Rang Undang-undang Persendirian pada 6 April 2017 dahulu iaitu lebih 4 tahun lalu. Ia merupakan usaha untuk memperkasakan Mahkamah Syariah demi memenuhi tuntutan umat Islam yang ingin mengamalkan agama mereka. Dan kini ianya diangkat oleh kerajaan.

- Advertisement -

Ini bukan pencapaian PAS tetapi pencapaian seluruh umat dan masyarakat Islam di Malaysia yang mahu memartabatkan agamanya agar menepati sebagaimana diperintahkan Allah S.W.T. Jika tidak pun sempurna sekurang-kurangnya umat Islam berusaha dan berikhtiar ke arah itu melalui RUU ini.

Pembentangannya mengingatkan kita betapa umat Islam bersatu menuntut ia dibawa ke Parlimen sehingga diadakan himpunan bersejarah di Padang Merbok pada 18 Februari 2017. Ia bersejarah kerana himpunan anjuran PAS yang ketika itu parti pembangkang, diberi kebenaran oleh pihak kerajaan yang di bawah pemerintahan BN.

Malah himpunan itu menyaksikan buat pertama kali majlis rapat umum anjuran PAS dihadiri pimpinan dan wakil kerajaan, antara yang turut hadir termasuklah Menteri di JPM Dato’ Seri Jamil Khir Baharom, Mufti Wilayah Dr Zulkifli al Bakri, Yang Dipertua YADIM Dr Yusri Mohamad selain pimpinan tertinggi PAS dan NGO.

Sesungguhnya permuafakatan ummah bermula dari detik itu. Kerajaan BN bawah pimpinan Dato’ Seri Najib Tun Razak mengizinkan RUU ini dibawa dan malah Umno khasnya mengalu-alukan pembentangannya kerana meraikan tuntutan umat Islam ketika itu.

Hari ini sebagaimana dinyatakan oleh Perdana Menteri ianya akan diteruskan dan kerajaan sentiasa mengambil langkah untuk memperkasa dan memartabatkan kedudukan Mahkamah Syariah agar setanding dengan Mahkamah Sivil. Tambah Perdana Menteri:

“Aspek pemerkasaan Mahkamah Syariah meliputi pelbagai aspek yang penting seperti meningkatkan tahap kompetensi hakim syarie, pendakwa syarie dan pegawai penguatkuasa agama, penambahbaikan aspek tadbir urus dan prasarana Mahkamah Syariah, penggubalan dan pindaan Undang-undang Syariah sedia ada dan penyeragaman dan penyelarasan Undang-undang Syariah.”

Semasa pembentangan RUU ini dahulu Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah meyakinkan masyarakat bukan-Islam bahawa mereka seharusnya tidak sedikit bimbang akan usaha ini kerana ianya tidak sesekali mengganggu hak mereka sebagai rakyat Malaysia. Semasa membentangnya di Parlimen dahulu Tuan Guru menyatakan:

“Tuan Yang di-Pertua, kita ingin menegaskan bahawa usul pindaan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) ini hanya terpakai kepada orang-orang Islam di dalam negara ini dan tidak terpakai pada golongan bukan-Islam sebagaimana dalam akta asalnya.

“Sejarah sudah membuktikan bahawa sejak Akta 355 ini diluluskan 52 tahun yang lalu belum pernah ada seorang bukan-Islam yang didakwa kesalahannya di bawah mana-mana Mahkamah Syariah negeri-negeri. Undang-undang Jenayah Syariat negeri-negeri yang diwujudkan daripada akta induk ini.

“Oleh hal yang demikian, kita memohon Yang Berhormat bukan beragama Islam tidak perlu berasa bimbang akan implikasi cadangan pindaan ini. Ini kerana tiada seorang warga bukan-Islam yang akan disabitkan atas apa-apa kesalahan Jenayah Syarie di bawah Akta 355 ini. Usul ini membabitkan sebuah akta peringkat Persekutuan dan ini bermakna ia masih tertakluk kepada persetujuan pemakaian kepada negeri-negeri kerana ia di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Segala urusan agama Islam dan pelaksanaan hukum di bawah Mahkamah Syariah terletak di bawah kuasa negeri-negeri, di bawah kuasa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Sultan-sultan dan Raja-raja selaku Ketua Agama Islam Negeri.”

Kerana itu kita mengharapkan Ahli-ahli Parlimen termasuklah yang bukan-Islam tidak menyekat atau mengganggu proses meluluskan RUU ini kiranya ia bangkit kembali di Parlimen. Mengganggunya bermakna mengganggu hak masyarakat Islam yang merupakan penduduk majoriti dalam negara dari mengamalkan agama mereka. Hiduplah dengan toleransi menghormati agama lain sebagaimana masyarakat berbilang kaum dalam negara kita sebelum ini hidup rukun dan damai tanpa menyentuh isu yang membabitkan agama dan kepercayaan yang lain.

Semasa pembentangannya dahulu Tuan Guru ada menyebut:

“Ahli-ahli rakyat bukan-Islam tidak berhak untuk menolak penambahbaikan Mahkamah Syariah hanya atas dasar mereka bukan-Islam. Mereka perlu sedar yang mereka juga bertanggungjawab pada kelompok masyarakat Islam yang mereka wakili. Mereka langsung tidak mengorbankan hak peribadi atau hak kelompok bukan-Islam yang mereka wakili. Pindaan akhirnya demi kepentingan masyarakat Islam yang mereka wakili. Jika kepentingan sedemikian yang begitu didambakan oleh masyarakat Islam tidak dapat ditunaikan, apakah yang boleh diharapkan daripada mereka jika hak dan kepentingan umat Islam itu bercanggah dengan kepentingan peribadi bagi mereka.”

Kita masih ingat semasa RUU ini dibentangkan 2017 lalu, bagaimana hiruk pikuk jadinya Dewan Rakyat apabila ahli-ahli dari blok pembangkang khasnya dari DAP dan PKR bertindak liar mengganggu pembentangannya sehingga tergendala selama 37 minit.

Semoga tiadalah lagi gangguan dan penentangan selepas ini kerana jika berulang ia hanya akan mengeruhkan hubungan baik sesama rakyat Malaysia berbilang kaum. Inilah masanya untuk umat Islam bersatu mempertahankan hak mereka sebagaimana dijanjikan dalam Perlembagaan Persekutuan yang tidak langsung mengurangkan hak yang bukan-Islam. Sebagaimana RUU ini dahulu diberi laluan oleh Kerajaan BN-Umno atas semangat permuafakatan ummah, marilah kita hidupkan kembali permuafakatan ini atas kesungguhan kita berpegang kepada agama Allah S.W.T. Memartabatkan Syariah adalah tanggungjawab kita bersama.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 24/9/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100009880363600/posts/1602742433398420/

- Advertisement -