Bekalan ayam, telur, kit Covid-19 dipasti mencukupi di pasaran

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Hasil pemantauan dan pemeriksaan menyeluruh ke atas semua peringkat rantai pengedaran ayam didapati harga ayam di Perlis lebih murah iaitu sekitar RM8.33 sekilogram berbanding harga purata nasional iaitu RM8.77.

Pengarah Penguat Kuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam berkata, perkara itu berlaku hasil kerjasama semua pihak termasuk pembekal, pemborong, penternak dan peruncit di Perlis.

- Advertisement -

“Antara strategi yang dilakukan mengadakan libat urus dengan semua pihak yang terlibat untuk membuat semakan semula keuntungan di peringkat masing-masing suaya mereka masih boleh mendapat keuntungan dan dalam masa yang sama boleh menawarkan harga yang munasabah kepada pengguna.

“Saya amat berpuas hati apabila semalam tidak ada langsung aduan mengenai kenaikan harga ayam, berbanding dua hari yang lalu di mana terdapat banyak aduan daripada pengguna,” katanya selepas melakukan tinjauan di Pasar Besar Sena, di sini hari ini.

Menurutnya lagi, operasi seperti itu akan terus dilakukan bagi memastikan harga ayam dan telur dapat distabilkan.

Pada awal September lepas berlaku kenaikan harga ayam sehingga harga di peringkat runcit didapati dijual melebihi RM10 sekilogram hampir di seluruh negara.

Pendekatan yang sama juga dilakukan kepada peniaga telur ayam di mana lapan surat pemberitahuan dikeluarkan kepada peruncit yang menjual telur ayam.

Dalam masa yang sama, pemantauan juga dibuat ke atas penjualan Kit Ujian Pantas Antigen Covid-19 (Ujian sendiri) dan mendapati kesemua farmasi mematuhi harga maksimum runcit seperti yang diwartakan.

Harga runcit maksimum (seunit) yang ditetapkan ialah RM19.90 manakala harga borong maksimum (seunit) adalah RM16.

Pihak KPDNHEP akan sentiasa berusaha untuk memastikan bekalan ayam, telur ayam dan Kit Ujian Pantas Antigen Covid-19 (Ujian sendiri) mencukupi dan stabil di pasaran. – HARAKAHDAILY 24/9/2021

- Advertisement -