Ujian penilaian kelas Kafa calon 2020, 2021 serentak

KUALA LUMPUR: Kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sentiasa memberi perhatian serius terhadap situasi semasa penularan Covid-19 dan perkembangan Pelan Pemulihan Negara (PPN) di negara ini.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad berkata, ini khususnya dari aspek keselamatan murid dan semua tenaga pengajar Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa).

Menruutnya, sebagaimana yang telah diumumkan pada 7 September lalu, JAKIM dengan kerjasama semua agensi terlibat telah menyediakan pelan tindakan yang sewajarnya demi memastikan aktiviti Pendidikan Kafa berjalan lancar.

Advertisement

Katanya, JAKIM menyambut baik pengumuman Menteri Kanan Pendidikan pada 12 September lalu yang telah memaklumkan mengenai Pembukaan Sekolah secara berperingkat mengikut Fasa PPN mulai 3 Oktober ini.

Tambahnya, pelaksanaan KAFA di seluruh negara juga berdasarkan kepada takwim persekolahan arus perdana.

Sehubungan itu, kata beliau bagi memastikan keselamatan, kesihatan dan kesinambungan aktiviti Pendidikan Islam, JAKIM ingin memaklumkan bahawa pengoperasian Kafa di seluruh negara bagi murid Tahun 1 hingga 6 akan diteruskan secara PdPR sehingga takwim persekolahan tahun 2021 berakhir.

Selain itu, jelasnya peperiksaan UPKK bagi calon tahun 2020 dan 2021 bagi subjek bertulis yang dijadualkan serentak pada 15 hingga 18 November depan akan digantikan dengan pelaksanaan berbentuk penilaian sepenuhnya.

“Keputusan ini tidak akan menjejaskan penilaian terhadap tahap penguasaan murid-murid kepada subjek yang dipelajari bermula dari Tahun 1 hingga Tahun 6,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kata beliau, kemenjadian murid-murid di dalam pendidikan mampu dinilai melalui pelbagai kaedah.

Justeru, bagi tujuan ini, jelasnya JAKIM akan memaklumkan kaedah serta tarikh pelaksanaan bagi menggantikan ujian bertulis tersebut.

“Pelaksanaan UPKK secara penilaian ini tidak akan menjejaskan mutu terhadap tahap penguasaan murid dan peluang untuk ke sekolah menengah,” katanya.

Dengan keputusan itu, ujar Idris guru KAFA dan murid hendaklah terus membuat persediaan rapi bagi menghadapi proses selanjutnya yang akan dilaksanakan oleh JAKIM nanti.

Beliau berkata, ibu bapa juga diminta memastikan anak-anak mengikuti aktiviti Pendidikan Kafa secara PdPR.

“JAKIM sentiasa komited untuk memastikan Pendidikan Kafa bergerak seiring demi memastikan kemenjadian murid,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 23/9/2021