Tasik Kenyir terima 35,000 pengunjung sejak 1 Sept

- Advertisement -

KUALA BERANG: Lokasi pelancongan terkenal Terengganu, Tasik Kenyir di sini telah menerima 35,000 pengunjung sejak dibuka semula pada 1 Sept lepas, sehingga kini.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) Datuk Razali Idris berkata daripada jumlah itu seramai 3,300 orang menginap di rumah bot, 3,000 pelawat harian menaiki bot laju, 1,100 pengunjung menaiki rumah rakit, manakala selebihnya merupakan pelancong yang bersiar-siar di sekitar tasik buatan manusia terbesar Asia Tenggara itu.

- Advertisement -

“Walaupun aktiviti rentas negeri masih tidak dibenarkan, tetapi melalui jumlah pengunjung ini kita dapat lihat rakyat Terengganu menyokong produk pelancongan tempatan.

“Daripada situasi penularan pandemik Covid-19 ini juga kita lihat rakyat Terengganu mula memberi perhatian kepada lokasi-lokasi pelancongan di negeri ini termasuk Tasik Kenyir,” katanya kepada pemberita selepas meninjau aktiviti pelancongan di sekitar tasik itu hari ini.

Razali berkata kedatangan pengunjung yang menggalakkan itu turut dibantu oleh inisiatif para penggiat pelancongan Tasik Kenyir seperti pengusaha rumah bot, rumah rakit dan bot laju, yang menawarkan potongan harga antara 20 hingga 30 peratus bagi setiap produk mereka.

Katanya Terengganu boleh beralih ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara sekiranya pengamalan prosedur operasi standard yang baik diteruskan, sekali gus meningkatkan kehadiran pelancong di tasik tersebut yang akan membantu melonjakkan ekonomi setempat serta seluruh negeri.

Sektor pelancongan di negeri ini dibuka semula kepada individu yang telah lengkap dua dos vaksin Covid-19 mulai 1 Sept lepas. – BERNAMA

- Advertisement -