Provokasi menghina PAT, berbaur politik dan perkauman

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pemimpin DAP, Dr Ramasamy Palanisamy telah bersikap menghina dan bermain perkauman sempit ketika menyanggah kenyataan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

- Advertisement -

Presiden Kebajikan Rangkaian Bekas Angkatan Tentera (KERABAT), Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar berkata, provokasi itu berbaur politik murahan dan mencerminkan nilai patriotik telah luput dari minda Ramasamy.

Menurut beliau, walaupun kaum bukan-Melayu merupakan minoriti di dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM), tetapi sudah ratusan yang berada di jawatan tertinggi bermula dari Laksamana Muda (B) Tan Sri Dato’ Sri K Thanabalasingam.

Kata beliau yang pernah berkhidmat dalam Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berbanding anggota kaum Melayu, Iban, Kadazan dan peribumi lain, peluang kaum Cina dan India dalam ATM sangat cerah bagi proses kenaikan pangkat.

Pun begitu ujar beliau, masalah yang timbul adalah berkaitan minat di mana kehadiran kaum bukan-Melayu dari keturunan Cina dan India dalam temuduga terbuka ATM hanya sekitar 5 hingga 10 peratus sahaja.

“Fakta meleset dari Ramasamy sangat menghina semangat perpaduan dalam kalangan NGO atau persatuan veteran yang dianggotai pelbagai lapisan kaum.

“Terdapat 146 persatuan ATM berdaftar termasuk dari persatuan-persatuan veteran India, Sikh dan Cina juga turut aktif dalam hal ehwal kebajikan setempat.

“Ini mencerminkan semangat setiakawan dan comradeship terus terjalin bermula dari mereka bersama-sama dalam perkhidmatan (ATM) sehingga menghadapi hari tua bersama,” ujar beliau mewakili suara 305,000 bekas anggota tentera, selain menyifatkan keharmonian pelbagai bangsa, kaum dan budaya di dalam ATM adalah cerminan sangat luar biasa luar biasa.

Antara lain disebutnya adalah Danyal Balagopal Abdullah yang juga berketurunan India di mana pernah menjadi Ahli Parlimen Port Dickson sebelum memberi laluan kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim di mana pernah menjawat Laksamana.

Ramasamy dalam reaksi terhadap kenyataan Jeneral Tan Sri Affendi bahawa tiada diskriminasi kaum dalam ATM telah menempelak dengan menyifatkan Panglima Angkatan Tentera (PAT) itu hidup dalam dunia fiksyen.

Malah, PAT juga dibidasnya mempunyai masalah dalam membezakan realiti dan berjenaka, selain Ramasamy mengaitkan perkara tersebut dengan politik serta perkauman yang tertumpu kepada satu kaum sahaja.

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang itu bahkan menuduh pengambilan pekerja dalam kerajaan termasuk dalam rekrut tentera dilakukan atas dasar kaum dan agama juga cara menyisihkan kaum bukan-Melayu.

“Kita mohon Ramasamy untuk tarik balik kenyataan yang menyakitkan hati ini dan memohon maaf kepada PAT serta seluruh warga ATM termasuk veteran,” gesa Mohd Nazari. – HARAKAHDAILY 23/9/2021

- Advertisement -