Pencemaran alam sekitar: Galak lebih ramai berani lapor

- Advertisement -

SIKAP berani mangsa pencemaran alam sekitar yang mengambil tindakan undang-undang terhadap individu mahupun industri yang bertanggungjawab melakukan pencemaran merupakan perkara yang baik dan amat digalakkan.

Sejak akhir-akhir ini, pencemaran alam sekitar yang melibatkan sungai, udara, pembakaran terbuka dan banyak lagi sering berlaku walhal negara masih berdepan dengan pandemik COVID-19. 

Permasalahan ini seperti tidak berkesudahan apabila pihak yang tidak bertanggungjawab sewenang-wenangnya melakukan pencemaran alam sekitar seperti membuang sisa toksik ke sungai dan mengeluarkan gas-gas merbahaya ke udara sehingga menyebabkan nyawa penduduk setempat terancam.

- Advertisement -

Saya menyambut baik usaha Kementerian Alam Sekitar Dan Air (KASA) yang akan meminda Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 pada tahun depan. Perkara ini adalah wajar apabila melihat situasi jenayah pencemaran alam sekitar yang semakin menjadi-jadi. Selain itu, sistem e-Aduan yang merupakan inisiatif kementerian dalam membolehkan orang ramai membuat aduan pencemaran juga perlu dimanfaatkan sebaik mungkin.

Di samping itu, kementerian dan agensi yang terlibat juga perlu mempergiatkan lagi kempen mahupun platform yang menggalakkan orang ramai untuk berani mendakwa penjenayah alam sekitar. Penyediaan kos guaman terutama kepada mangsa pencemaran seharusnya memerlukan peruntukkan daripada kerajaan bagi meringankan beban mereka untuk mendakwa penjenayah alam sekitar. 

Justeru, saya berharap selepas ini akan lebih ramai lagi rakyat Malaysia proaktif untuk tampil ke hadapan bagi mendakwa penjenayah alam sekitar untuk memastikan pencemaran alam sekitar negara dapat diminimumkan.

“Islam Memperkukuh Perpaduan”

YB TUAN CHE ALIAS HAMID
Ahli Parlimen Kemaman – HARAKAHDAILY 23/9/2021

- Advertisement -