LGBT insaf selepas sertai program Mukhayyam

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Program Mukhayyam berjaya mengubah komuniti Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) apabila mereka secara sukarela mahu kembali kepada fitrah.

Program anjuran Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama beberapa pihak adalah antara inisiatif bagi membantu dan membimbing golongan berkenaan.

Advertisement

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Tuan Haji Idris Ahmad, berkata program secara sukarela itu diadakan selama tiga hari dua malam dengan menekankan lima elemen, iaitu kesedaran kerohanian, bimbingan fardhu ain, kesedaran kesihatan, motivasi kerjaya dan aktiviti berkumpulan.

Sejak 2011 hingga bulan ini, katanya seramai 1,733 orang menyertai program Mukhayyam yang diadakan dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), Yayasan Ihtimam Malaysia serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Komuniti Hijrah LGBT.

“Berdasarkan maklum balas peserta, mereka mengakui program ini dapat membetulkan salah faham terhadap golongan agama yang selama ini dianggap bersifat menghukum terhadap golongan yang melakukan kesalahan.

“Mereka juga mengingati dan menghayati semula asas agama seperti solat dan fardu ain, menginsafi semula tentang tanggungjawab diri terhadap Tuhan dan orang lain, serta membina semula keyakinan diri,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Idris berkata, program susulan dan sokongan juga disediakan sebagai aktiviti susulan seperti usrah dan kelas pengajian serta bantuan modal awal perniagaan untuk ekonomi sara diri melalui inisiatif komuniti sendiri atau agensi seperti JAKIM, MAIN, JAIN dan NGO.

Katanya, Program Usrah Iqra’ yang diadakan setiap bulan merupakan program pengisian kerohanian yang membantu komuniti ini menambah ilmu dan pengetahuan dalam agama yang dilaksanakan secara bersemuka, manakala ketika pandemik Covid-19, dilaksanakan secara atas talian.

“Sebagai negara yang berpegang kepada Islam sebagai agama Persekutuan yang menerapkan kepada nilai moral berlandaskan adat, budaya dan agama yang sekian lama diterapkan dalam kalangan masyarakat tempatan, maka, mana-mana individu yang melanggar undang-undang perlu diambil tindakan.

“Namun pada waktu yang sama, kita didik dengan cara paling berhikmah dan diberi kesedaran untuk kembali ke pangkal jalan,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/9/21