Kontraktor projek terowong jumpa Guan Eng beberapa kali di pejabat KM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Bekas setiausaha sulit Lim Guan Eng hari ini memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa kurang daripada lima perjumpaan telah diadakan di antara bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu dan pemilik syarikat Consortium Zenith BUCG Sdn Bhd (CZBUCG), Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli.

Farida Hani Yacob, 47, yang bertugas sebagai Setiausaha Sulit Lim bermula 2009 sehingga 2018 berkata, pertemuan Lim dan Zarul Ahmad melibatkan projek terowong dasar laut di negeri itu sering diadakan di Pejabat Ketua Menteri di Bangunan Komtar.

- Advertisement -

“Saya mula mengenali Zarul Ahmad sebagai pemilik CZBUCG sejak media mula melaporkan tentang projek terowong di Pulau Pinang,” kata saksi itu ketika membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan kes rasuah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang berdepan empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di negeri itu bernilai RM6.3 bilion.

Berhubung dengan susunan proses perjumpaan dan temu janji Zarul Ahmad dengan Lim, saksi pendakwaan keenam itu berkata Zarul Ahmad akan menghubunginya bagi mendapatkan tarikh berkenaan.

“Saya akan mendapatkan persetujuan Ketua Menteri (Lim) terlebih dahulu dan akan memaklumkan semula kepada Zarul Ahmad mengenai butir-butir temu janji. Seingat saya, pertemuan yang saya susun melibatkan temu janji antara Lim dan Zarul Ahmad adalah kurang daripada lima kali,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin.

Farida Hani juga berkata beliau tidak pernah hadir bersama ketika perjumpaan di antara Lim dan Zarul Ahmad dan tidak tahu apa yang dibincangkan dalam pertemuan itu.

“Saya juga tidak pasti sama ada Zarul Ahmad pernah membawa apa-apa bungkusan, sampul surat atau kotak bersamanya ketika berjumpa Lim. Sekiranya Zarul Ahmad datang ke pejabat Ketua Menteri, beliau akan terus ke bilik mesyuarat atau bilik VIP tanpa melalui bilik saya,” kata saksi itu.

Sementara itu, Pengurus Besar WCT Construction Sdn Bhd, Ooi Bok Thian, 49, berkata walaupun syarikatnya mempunyai pengalaman dalam projek pembinaan terowong dasar laut, namun markah penilaian teknikal dan kewangan yang syarikatnya peroleh bagi projek berkenaan hanyalah sebanyak 59 markah.

Sebaliknya, Ooi berkata syarikat CZBUCG mendapat markah tertinggi sebanyak 93 bagi keseluruhan penilaian teknikal dan kewangan bagi projek pembinaan jalan utama dan terowong dasar laut di Pulau Pinang.

“Markah kedua tertinggi adalah China State Construction Engineering Corporation Ltd & VST Cemerlang Sdn Bhd iaitu sebanyak 77,” katanya.

Saksi pendakwaan ketujuh itu berkata WCT telah menjalankan usaha sama dengan Daewoo Joint Ventures kerana syarikat itu terbabit dalam projek mega pembinaan terowong dasar laut di Korea Selatan.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Lim, didakwa menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima wang rasuah RM3.3 juta sebagai tindakan membantu syarikat milik Zarul Ahmad mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702.

Lim dituduh melakukan kesalahan tersebut di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, George Town, antara Januari 2011 dan Ogos 2017.

Dalam pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta suapan daripada Zarul Ahmad sebanyak 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh oleh syarikat itu sebagai penghargaan mendapatkan projek tersebut.

Kesalahan itu didakwa dilakukan berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, Kuala Lumpur, pada Mac 2011.

Lim yang juga Setiausaha Agung DAP, turut berdepan dengan dua tuduhan menyebabkan dua plot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang, Tingkat 21, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung esok. – BERNAMA

- Advertisement -