KKM tidak lagi guna formula imuniti kelompok, fokus pemberian vaksin

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) tidak lagi menggunakan formula konvensional yang menilai imuniti kelompok berdasarkan capaian sekurang-kurangnya vaksinasi 80 peratus penduduk dewasa dalam usaha membendung Covid-19.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata pakar kesihatan dunia kini telah berhenti menggunakan formula berkenaan dan fokus memvaksinasi sebanyak mungkin populasi penduduk kerana penularan varian Delta menyebabkan sasaran imuniti kelompok sebelum ini iaitu 80 peratus, terjejas.

Advertisement

“Saya sebagai Menteri KKM, saya tidak lagi guna terma herd immunity. Pada waktu kita mulakan program vaksinasi, kita guna formula konvensional untuk kira herd immunity yang didapati bahawa 80 peratus (penduduk dewasa) vaksinasi baru capai herd immunity.

“Tapi pada masa itu sebelum penularan varian Delta. Delta pada dasarnya menjejaskan pengiraan imuniti kelompok dan ia adalah sukar untuk menyatakan bila kita dapat (capai) herd immunity, sebab itu kita jangan lagi melihat dengan herd immunity, kita kena lihat liputan itu (vaksinasi) seluas mungkin,” katanya ketika menggulung Usul Titah Diraja pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau memberi penjelasan itu apabila Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) yang bangun dan mempersoalkan mengapa kes jangkitan dan kematian akibat Covid-19 di Malaysia masih tinggi sedangkan kadar vaksinasi penduduk dewasa melebihi 80 peratus.

Pada Selasa, negara mencapai 80 peratus populasi dewasa lengkap divaksin, lebih awal daripada sasaran melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dilaksanakan sejak 24 Feb, dalam usaha membendung penularan Covid-19 di seluruh negara.

Justeru, Khairy berkata program PICK kini giat melaksanakan vaksinasi terhadap remaja berusia 12 hingga 17 tahun manakala bagi golongan kanak-kanak, KKM sedang menunggu laporan ujian klinikal vaksin Pfizer untuk golongan itu.

Dalam pada itu, Khairy berkata walaupun pada ketika ini penularan kes masih tinggi namun berdasarkan indikator-indikator penting ia mula menunjukkan trend penurunan dan memberikan sinar ke arah proses pemulihan negara yang lebih baik.

Beliau berkata jika dibandingkan dengan sebulan lepas, iaitu pada 23 Ogos, jumlah penggunaan katil adalah sebanyak 14,942 kes tetapi pada hari ini, ia telah menurun kepada 10,321.

“Jumlah keperluan ICU (unit rawatan rapi) adalah sebanyak 1,542 kes tetapi hari ini menurun kepada 1,114 kes. Purata kes kematian bagi tempoh tujuh hari pada Ogos pula adalah 251 kes dan kini menurun kepada 106 kes.

“Berdasarkan kes aktif semasa yang dicatatkan pula, 83 peratus daripada keseluruhan kes adalah kategori 1 dan 2 yang hanya memerlukan kuarantin di rumah; 10.7 peratus kes dibawa ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC); kemasukan ke hospital (5.1 peratus) manakala kes yang memerlukan bantuan alat pernafasan dan rawatan rapi adalah 0.5 peratus,” katanya.

Khairy berkata bagi memastikan penularan dalam negara dapat dikawal seterusnya mengelakkan wabak di luar kawalan, KKM akan terus memantapkan strategi kesihatan awam dalam melandaikan keluk Covid-19 dan memutuskan rantaian transmisi menerusi pelan Find, Test, Trace, Isolate and Support (FTTIS).

Katanya, KKM sedang menyiapkan strategi ujian saringan kebangsaan atau National Testing Strategy untuk memastikan sesuatu kawasan itu boleh beralih ke fasa mitigasi dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) yang akan menentukan tahap jangkitan di kawasan mereka.

Mengulas mengenai kuarantin kendiri di rumah dan kebimbangan mengenai kematian di luar hospital (BID), Khairy berkata KKM kini berusaha mengenal pasti punca sebahagian besar kes BID tidak berada di bawah kawalan KKM dan fasiliti kesihatan lain.

“KKM amat mengambil berat mengenai keadaan ini. Setakat Ogos lepas sebanyak 2,417 kes BID direkodkan, tetapi yang ketara ialah 2,200 kes atau 68 peratus tidak berada di bawah KKM atau di bawah mana-mana pantauan fasiliti kesihatan swasta.

“Untuk membuat rakyat lebih yakin dengan kuarantin rumah, jika mereka berada di bawah pantauan KKM kita akan hantar peralatan seperti pulse oxymeter dan memastikan mereka sentiasa boleh dihubungi supaya jika ada red flag kita pastikan mereka tidak terlewat dihantar ke hospital,” katanya.

Mengenai tunggakan pelaporan kes kematian, Khairy berkata perkara itu tidak hanya berlaku di Malaysia, malah turut berlaku di negara-negara lain seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan India.

“Di Malaysia, tunggakan pelaporan ini berlaku di seluruh negara, namun kesannya amat ketara di Lembah Klang memandangkan pada akhir Julai lepas hingga pertengahan Ogos, Lembah Klang mengalami peningkatan kes yang signifikan sekali gus mengakibatkan beban kerja yang tinggi dan kekangan di lapangan dari segi sumber terutamanya sumber manusia,” katanya. – BERNAMA