Kerajaan salurkan RM6.08 bilion bantu usahawan mikro dan PKS

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Lebih satu juta usahawan mikro serta Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) menerima bantuan bernilai RM6.08 bilion melalui Geran Khas Prihatin (GKP) sejak wabak Covid-19 melanda negara ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Mohd Shahar Abdullah, berkata bantuan itu diperkenalkan di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih).

- Advertisement -

Katanya, ini membuktikan kesungguhan kerajaan untuk menyokong sektor perniagaan dengan meringankan beban kewangan mereka supaya mampu mengharungi tempoh yang masih mencabar serta sebagai penambahan pelaburan kepada perniagaan.

“Bagi inisiatif GKP 4.0, lebih sejuta PKS mikro melibatkan penerima sedia ada GKP sebelum ini, serta penerima baharu mula menerima RM500 pada 21 September 2021 melalui bayaran Fasa 1,” katanya menjawab soalan Dato’ Mohd Fasiah Mohd Fakeh (PN- Sabak Bernam).

Mohd Shahar berkata, bayaran Fasa 2 sebanyak RM500 ringgit yang dikreditkan terus ke akaun bank yang didaftarkan dalam sistem GKP akan dibuat pada November ini menjadikan keseluruhan bayaran GKP 4.0 sebanyak RM1,000.

Katanya, syarat kelayakan sedia ada sangat minimum dan tidak terlalu ketat, malah pada Julai lalu, Kementerian Kewangan telah membuka permohonan baharu GKP 4.0 kepada usahawan mikro yang permohonan GKP mereka sebelum ini tidak diluluskan.

“Kerajaan juga membuka untuk permohonan baharu sebanyak empat kali, iaitu PKS mikro perlu berdaftar sebelum 31 Disember 2019 bagi GKP 1.0; 31 Ogos 2020 bagi GKP 2.0; 28 Februari 2021 bagi GKP 3.0; dan 30 Jun 2021 bagi GKP 4.0,” katanya.

Beliau berkata, data penerima bantuan GKP adalah berdasarkan data terkini pendaftaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Katanya, penerima yang layak untuk menerima bantuan GKP 4.0 adalah penerima sedia ada (GKP 1.0, 2.0 dan 3.0) yang berstatus lulus dan berjaya kredit serta penerima baharu GKP 4.0. – HARAKAHDAILY 23/9/21

- Advertisement -