Kementerian Pendidikan perincikan kaedah sistem penggiliran murid

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan akan memastikan sistem penggiliran mingguan pengajaran dan pembelajaran (PdP) murid sekolah dapat dilaksanakan dengan baik.

Menurut Menterinya, Dato’ Dr Radzi Jidin, guru akan menetapkan kumpulan murid dan giliran mereka untuk hadir ke sekolah terlebih dahulu sebelum sekolah dibuka pada 3 Oktober ini.

- Advertisement -

Katanya, guru kemudian akan memaklumkan mengenai persediaan penting semasa menjalani pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) secara sendiri atau sebelum mereka hadir ke sekolah untuk PdP bersemuka.

“Bagi murid yang mengikuti PdPR secara sendiri, guru akan menjelaskan mengenai aktiviti, latihan atau tugasan yang perlu dilaksanakan berdasarkan topik yang akan dipelajari.

“Guru juga akan turut memberi sumber rujukan yang boleh digunakan oleh murid semasa PdPR,” katanya ketika menjawab soalan Sim Tze Tzin (PKR-Bayan Baru) di Dewan Rakyat, hari ini.

Tindakan itu, kata Radzi, akan membolehkan murid mengikuti aktiviti pembelajaran melalui TV Pendidikan, rakaman video, pelantar DELIMa serta SumberKU.

Selain itu, katanya guru boleh memberi tugasan untuk murid membuat buku skrap, projek mudah, aktiviti amali mudah atau membaca buku, modul, buku teks dan nota dan tugasan itu akan disemak oleh guru apabila murid kembali ke sekolah pada minggu berikut.

“Murid yang mengikuti PdP secara bersemuka pula, guru akan menjelaskan mengenai persediaan semasa PdPR selain daripada mengajar.

“Bagi memastikan keberkesanan pendekatan ini, guru akan merancang dan melaksanakan topik pembelajaran dengan mengambil kira baki kandungan kurikulum mata pelajaran yang ditetapkan dan penguasaan pembelajaran murid sepanjang tempoh penggiliran dilaksanakan,” katanya.

Selain itu, katanya guru boleh melaksanakan aktiviti pemulihan atau pengukuhan bergantung kepada keupayaan murid.

Katanya lagi, Kementerian Pendidikan juga telah menyediakan manual pengoperasian pengajaran dan pembelajaran secara penggiliran sebagai panduan kepada pengetua, guru besar, guru, murid, ibu bapa dan penjaga. – HARAKAHDAILY 23/9/2021

- Advertisement -