Isu pemindahan wang MBI RM13 juta disiasat SPRM

Mukhriz Mahathir.
- Advertisement -

Oleh: SARINA ISMAIL

ALOR SETAR: Isu pemindahan wang milik Perbadanan Menteri Besar Kedah (MBI) sebanyak RM13 juta ke akaun luar negara telah diserahkan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk disiasat.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, terdapat empat transaksi yang berlaku sekitar tahun 2014 yang mana ketika itu Dato’ Seri Mukhriz Mahathir merupakan Menteri Besar negeri berkenaan. 

- Advertisement -

Menurutnya, transaksi pertama bernilai RM3.295 juta), kedua (RM3.315 juta), ketiga (RM3.305) dan keempat (RM3.287).

“Saya tidak boleh komen banyak sebab dokumen (berkaitan) sudah ada pada pihak berkuasa. Cuma saya berharap pihak berkuasa dapat menjalankan tindakan seadil-adilnya. 

“Sama ada (berlaku) pecah amanah, salah guna kuasa atau mana-mana yang menyalahi akta, ia perlu diambil tindakan,” katanya kepada pemberita ketika sidang media hari terakhir sidang DUN Kedah, di sini, hari ini. 

Dalam masa yang sama, beliau berharap agar pihak berkuasa tidak melindungi mana-mana pihak dan sekiranya pemindahan wang itu tidak sah, diharapkan ia dapat dikembalikan kepada MBI. 

Sementara dalam sidang media berasingan, Mukhriz mencabar Sanusi membuat laporan kepada pihak berkuasa sekiranya dakwaannya itu benar dan sebaliknya meminta ADUN Jenari tersebut membuat permohonan maaf sekiranya perkara itu tidak benar. 

No sorry (tiada permohonan maaf)  sebab sebelum dia (Mukhriz) cabar pun, saya sudah buat laporan. Di mana, bank mana, minta SPRM siasat. Saya cuma nak cari kebaikan sahaja,” ujarnya lagi. 

Muhammad Sanusi.

Seperkara lagi, Sanusi turut menegaskan, beliau mempunyai dokumen berhubung perbelanjaan sebanyak RM1.3 juta yang dikemukakan oleh penasihat bekas Menteri Besar Kedah yang digunakan untuk membayar kos kuih raya pada program yang dilaksanakan oleh kerajaan terdahulu. 

Walaupun perkara itu menurut dakwaan Mukhriz yang juga ADUN Jitra adalah di luar pengetahuannya, namun Sanusi berkata, beliau yakin perbelanjaan tersebut bukan melibatkan kos untuk bakul makanan tetapi kuih raya sebagaimana maklumat yang terdapat dalam dokumen berkenaan.

“Saya ada dokumen itu di pejabat. Cuma yang saya nak bangkitkan sebab ADUN Jitra kata Menteri Besar tidak perlu tahu semua benda. Serah (sahaja) kepada penasihat.

“Tetapi saya tidak sama sepertinya (Mukhriz). Setiap keputusan yang diambil oleh penasihat perlu dimaklumkan kepada saya.

“Setiap pemimpin perlu tahu apa yang pegawainya buat agar tidak memberi kesan buruk kepada imej pemimpin,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 23/9/2021

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!