Hujan, angin kuat punca kerugian sawah di Perlis

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR: Musim hujan dan angin kuat sejak seminggu yang lalu telah menyebabkan kerugian dialami lebih 500 hektar sawah di seluruh negeri Perlis.

Seorang petani yang juga pengusaha jentuai, Sukardi Mat Dali berkata, antara kawasan yang terjejas teruk dengan masalah ini ialah di Simpang Empat dan Kuala Perlis.

- Advertisement -

“Untuk mengerjakan sawah, kita memerlukan beberapa komponen antaranya bekalan air, padi  benih, baja dan jentera. Jika salah satu komponen ini lewat atau gagal menjalankan fungsi yang sepatutnya, masalah lain akan timbul contohnya seperti kejadian padi rebah ini,

“Masalah padi rebah ini berlaku kerana kelewatan bekalan padi benih. Apabila lewat, petani terpaksa menangguhkan proses penanaman padi sehinggalah bertembung dengan musim angin dan hujan yang kebiasaannya berlaku pada bulan September,” katanya.

Sukardi Mat Dali

Oleh itu, dia menyarankan agar bekalan benih padi perlu mengikut jadual yang ditetapkan supaya perkara ini tidak berlanjutan lagi pada musim akan datang.

“Perkara ini bukan sahaja menyebabkan kerugian kepada petani, malah hasil padi yang diperolehi juga tidak berkualiti yang akhirnya memberi impak kepada pengguna.

“Jika dahulu, beras yang dimasak lambat basi tetapi disebabkan padi yang tidak berkualiti ini kadang-kadang masak pagi, petang pun nasi sudah basi,” ujarnya lagi.

Mohd Nor Hashim

Sehubungan itu, Pengerusi Suaratani Negeri Perlis, Mohd Nor Hashim, berkata hampir setiap tahun masalah kelewatan padi benih ini berlaku, oleh itu pihak berwajib seperti Kementerian Pertanian perlu mengambil tindakan yang sewajarnya agar masalah ini tidak lagi berlaku pada musim akan datang.

“Kebiasaannya aktiviti menuai berlaku pada awal Ogos sehingga penghujung Ogos tetapi sehingga sekarang, padi masih tidak dapat dituai kerana belum masak sehinggalah bertembung dengan musim angin dan hujan yang akhirnya menyebabkan padi rebah.

“Pengusaha jentuai juga akan mengalami kerugian kerana masa untuk menuai semakin bertambah akibat kesukaran menuai padi yang rebah dan terpaksa menggunakan minyak yang banyak,” katanya.

Mohd Sufian Sidek

Seorang petani dari Kampung Padang Besar Selatan, Mohd Sufian Sidek pula berkata terdapat di kalangan petani mengambil keputusan untuk menuai padi yang belum matang bagi mengelakkan kejadian padi rebah ini.

“Namun, petani akan tetap berhadapan dengan kerugian kerana pihak kilang akan membuat potongan kerana membeli padi yang belum matang,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 23/9/2021

- Advertisement -