Hasil kerajaan 6 bulan pertama meningkat 4.6 peratus

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Hasil kerajaan bagi tempoh separuh pertama 2021 meningkat sebanyak 4.6 peratus, iaitu RM106.4 bilion berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Kewangan, Mohd Shahar Abdullah, berkata prestasi ini adalah lebih perlahan berbanding anggaran Bajet 2021 yang telah diumumkan pada tahun lalu.

- Advertisement -

Katanya, daripada jumlah itu, hasil cukai adalah sebanyak RM80.2 bilion, manakala hasil bukan cukai sebanyak RM26.2 bilion.

“Daripada jumlah hasil cukai, RM58.3 bilion adalah hasil cukai langsung, manakala RM21.9 bilion adalah hasil cukai tidak langsung,” katanya menjawab soalan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) di Dewan Rakyat, hari ini.

Mohd Shahar berkata, jumlah perbelanjaan Kerajaan Persekutuan dalam tempoh separuh pertama tahun ini adalah sebanyak RM164.2 billion, meningkat sebanyak 5.7 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Daripada jumlah itu, katanya RM117.4 bilion atau 71.5 peratus disalurkan untuk Belanja Mengurus, RM28.4 bilion atau 17.3 peratus untuk Belanja Pembangunan dan baki sebanyak RM18.4 bilion atau 11.2 peratus adalah perbelanjaan di bawah Kumpulan Wang Covid-19 (KWC-19).

“Sebahagian besar perbelanjaan merangkumi 65.5 peratus daripada jumlah Belanja Mengurus adalah untuk menampung berkaitan emolumen sebanyak RM43.2 bilion, bayaran khidmat hutang sebanyak RM18.4 bilion dan bayaran persaraan sebanyak RM15.3 bilion,” katanya.

Bagi perbelanjaan pembangunan, katanya sebanyak 82.5 peratus disalurkan kepada sektor ekonomi dan sosial, manakala sebahagian perbelanjaan di bawah KWC-19 adalah untuk membiayai pelbagai program termasuk Bantuan Prihatin Nasional sebanyak RM8.9 bilion, subsidi upah (RM3.7 bilion), Geran Khas Prihatin (RM2 bilion) dan perbelanjaan berkaitan Covid-19 sebanyak RM1.6 bilion. – HARAKAHDAILY 23/9/21

- Advertisement -