Covid: Kes baharu turun lagi kepada 13,754 hari ini

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kes baharu Covid-19 di seluruh negara setakat 12 tengah hari ini terus menunjukkan penurunan dengan 13,754 kes berbanding 14,990 semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi perkongsian di platform media sosialnya berkata dengan angka terbaharu itu, jumlah kumulatif kes di negara kini 2,156,678 kes.

- Advertisement -

“Alhamdulilah seperti yang dijangkakan trend penurunan kes harian mula diperhatikan sejak kebelakangan ini,” katanya.

Beliau berkata Selangor merekodkan kes harian tertinggi dengan 1,985 kes, disusuli Johor (1,913), Sarawak (1,766), Sabah (1,629), Kelantan (1,264) dan Pulau Pinang (1,052).

Negeri yang mencatatkan tiga angka bagi kes Covid-19 pula ialah Pahang (869), Perak (844), Kedah (783), Terengganu (664), Kuala Lumpur (383), Melaka (292), Negeri Sembilan (175) dan Perlis (113).

“Putrajaya pula mencatatkan sebanyak 14 kes, manakala di Labuan terdapat lapan kes dilaporkan sehingga pukul 12 tengah hari tadi,” katanya.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) hospital Covid-19 di seluruh negara setakat semalam adalah 74 peratus daripada 1,506 katil, manakala katil bukan ICU sebanyak 62 peratus daripada 16,713 katil. – BERNAMA

- Advertisement -