Bekas pelajar bantah cadangan bubar PJJ USM

- Advertisement -

KOTA BHARU: Berita pengurusan Universiti Sains Malaysia dikatakan akan membubarkan Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) universiti tersebut begitu mengejutkan.

Berita mengenainya berlegar luas di media sosialnya, malah petition dibuat sebagai usaha membantah cadangan tersebut.

Malah ada alumni menaikkan #prayforpppjjusm sebagai gerakan di maya membantah cadangan tersebut.

- Advertisement -

Menurut gerakan tersebut alasan yang dikemukakan PPPJJ USM tidak menjana ‘keuntungan’ yang tinggi dipertikaikan.

“Mari ramai-ramai tidak kira sama ada pelajar, graduan atau Alumni USM membantah cadangan ini kerana PJJ USM telah berusia 50 tahun yang membawa agenda nasional.

“PJJ USM membantu pelajar kurang berkemampuan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Tindakan ini hadiah Jubli Emas yang paling menyedihkan buat semua pihak,” katanya.

Dr Che Hamdan

Berdasar kenyataan yang berlegar di media sosial pengurusan USM dikatakan mempertimbangkan beberapa perkara untuk memastikan pelajar PJJ menerima kualiti pengajaran yang terbaik dari USM.

Kata kenyataan itu cadangan penstrukturan semula tersebut supaya kesemua staf akademik PJJ dikembalikan ke Pusat Pengajian asal supaya mereka lebih kukuh dari aspek akademik.

Selain itu pada masa yang sama silibus yang ditawarkan kepada pelajar PJJ pada tahap yang sama dengan apa yang diajar di Pusat Pengajian.

Kenyataan itu juga menyebut kadar graduasi PJJ serendah 20 peratus dan kadar kegagalan sesetengah program adalah setinggi 50 peratus?

Mengulas perkembangan itu alumni PJJ USM Dr Che Hamdan Mohd Razali berkata, sebagai institusi pengajian tinggi (IPTA), walaupun keuntungan satu kewajaran, namun ia bukan sebab utama untuk membubarkan PJJ.

Katanya pusat pengajian itu sudah lama bertapak dan menyediakan ruang kepada mana-mana pihak yang ingin meneruskan pengajian, di samping mempunyai karier yang tetap.

“Lebih wajar pada saat menghadapi keruncingan ekonomi sekarang, langkah awal memikirkan bagaimana untuk mengurangkan perbelanjaan bagi memastikan program yang ada sekarang tidak merugikan.

“Untuk meruntuhkan sesuatu adalah mudah, namun pertimbangan dari segi bagaimana objektif asal ia ditubuh dan sumbangan yang diberi sangat dituntut,” katanya.

Manakala sumber lain memberitahu sistem USM sentiasa membenarkan pelajar mengambil kursus silang sebagai opsyen.

Kata mereka sukar untuk percaya ada segelintir pensyarah yang tidak pernah kemaskini silibus.

Ini kerana katanya sudah ada unit kualiti dan instrumen kualiti pengajaran untuk akreditasi MQA dan penilaian pelajar.

Netizeen yang menggunakan nama Zya Ell Rosse pula berkata, walau apa pun alasan dan sebabnya, beliau tetap tidak setuju jika PJJ dibubarkan.

Ini kerana katanya PJJ merupakan peluang ‘student tua’ meneruskan perjuangan yang tertangguh sebelum ini.

“PJJ USM adalah antara yang terbaik di Malaysia dan merupakan PJJ yang menawarkan yuran yang mampu dibayar golongan marhean.

“PJJ USM juga masih mengekalkan pembelajaran dalam bahasa ibunda. Kami akan sentiasa menyokong PJJ USM,” katanya.

Rizal Hassan pula berkongsi pautan https://chng.it/rVJ4CLCHtp memaklumkan dukacita cadangan pengurusan USM mahu membubarkan PJJ yang banyak melahirkan graduan berjaya.

Katanya setelah 50 tahun, langkah kebelakang itu diambil dengan alasan PJJ tidak menjana ‘keuntungan’ yang tinggi. – HARAKAHDAILY 23/9/2021

- Advertisement -