PRE: Pemangkin kebajikan dan ekonomi negara

- Advertisement -

SAYA telah diberi peluang oleh Parlimen untuk berbahas berkenaan pakej-pakej rangsangan ekonomi yang telah diperkenalkan oleh kerajaan sejak tahun lepas. Pakej-pakej ini telah diletakkan dalam PEMULIH dan PEMERKASA untuk tujuan penyelarasan di bawah Kumpulan Wang COVID-19. 

Saya mengucapkan tahniah kepada kerajaan yang sentiasa istiqamah menjaga kebajikan rakyat melalui siri-siri kebajikan. Bahkan, negara kita adalah negara pertama di dunia yang melaksanakan inisiatif moratorium terhadap bayaran pinjaman kepada bank oleh rakyat selama 6 bulan pada tahun lepas. Ini menunjukkan kerajaan kita cakna dan tidak gagal dalam memahami kesusahan dan kesulitan yang dihadapi oleh rakyat.

- Advertisement -

Saya juga memberi beberapa cadangan untuk mempelbagaikan inisiatif bantuan kepada rakyat bagi meringankan beban kepada rakyat Malaysia yang terhimpit kerana COVID-19 ini. Contohnya, saya memohon kepada Kementerian Dalam Negeri mempertimbangkan inisiatif pengurangan bayaran pembaharuan pasport diberikan kepada pemegang pasport yang ingin memperbaharui pasport mengikut tempoh yang dipohon bagi mengurangkan beban pemegang pasport tersebut.

Tidak lupa juga, saya mencadangkan kepada Kementerian Kesihatan  untuk menyediakan perkhidmatan membantu pesakit atau bekas pesakit COVID-19 secara peribadi (contohnya kunjungan kakitangan perubatan kepada pesakit dan pengangkutan membawa pesakit ke klinik atau hospital) untuk menerima rawatan dan menjalani kehidupan yang dikhususkan kepada pesakit yang miskin dan juga tidak mempunyai waris dalam menempuhi kehidupan mereka.

Saya juga mengambil kesempatan bertanya kepada Kementerian Kewangan berkenaan 10 individu yang bertaraf bilionair atau 10 orang paling kaya di Malaysia, yang masih mampu mengaut keuntungan melalui syarikat masing-masing ketika pandemik ini melanda, apakah mereka juga telah melakukan sumbangan sama ke dalam tabung ini bagi membantu rakyat Malaysia yang dalam kesusahan. Jika ada, berapakah jumlah yang telah disumbang oleh mereka kepada tabung ini.

Justeru, saya berharap Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan cadangan-cadangan yang diutarakan oleh saya secara serius dalam usaha memastikan menjaga kebajikan rakyat diteruskan. Saya juga berharap segala usaha yang dirancang dalam pakej-pakej rangsangan ekonomi dapat dilaksanakan dengan secepat mungkin sesuai dengan situasi semasa negara kita menuju ke arah suasana endemik.

“Islam Memperkukuh Perpaduan”

YB TUAN WAN HASSAN MOHD RAMLI
Ahli Parlimen Dungun – HARAKAHDAILY 22/9/2021

- Advertisement -