PAS Johor sumbang peralatan perubatan untuk hospital

- Advertisement -

JOHOR BAHRU: PAS Negeri Johor telah menyampaikan sumbangan berupa troli pesakit dan troli perubatan untuk kegunaan Hospital Sultan Ismail dan Hospital Kota Tinggi dalam satu serahan di Hospital Sultan Ismail, di sini hari ini.

- Advertisement -

Pengerusi Lajnah Kesihatan PAS Pusat, Prof Madya Dr Mohd Mazri Yahya bersama Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Husin telah menyerahkan tujuh troli pesakit dan lima troli perubatan kepada Pengarah Kesihatan Johor, Dato’ Dr Aman Rabu.

Menurut Dr Mazri, sumbangan PAS Johor bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan tersebut adalah atas rasa tanggungjawab bersama bagi membantu untuk menambah baik fasiliti hospital dan perkhidmatan kesihatan di negeri ini.

“Kami dan rakan-rakan NGO berbesar hati dan komited untuk terus membantu semua pihak terutamanya perkhidmatan (sektor) kesihatan di Johor, dengan bantuan kemampuan yang sebaik mungkin dalam usaha mengharungi cabaran pandemik negara,” kata beliau.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor turut menyatakan penghargaan kepada semua pihak yang menyumbang melalui Tabung Bencana COVID-19 PAS Johor yang telah dilancarkan pada awal tahun ini.

Sementara itu dalam majlis yang sama, Dato’ Dr Aman turut merakamkan penghargaan atas sumbangan berkenaan dan mengalu-alukan sebarang bentuk pemberian daripada mana-mana pihak bagi kesejahteraan rakyat.

Turut hadir adalah Pengarah Hospital Sultan Ismail, Dr Khadijah Abu Bakar dan Pengarah Hospital Kota Tinggi, Dr Faidzal Adlee Abdul Ghafar serta Pengerusi Ahli Lembaga Pelawat Hospital Sultan Ismail, Dr Zubaidi Ahmad dan wakil Ahli Lembaga Pelawat Hospital Kota Tinggi, Razif Seju.

PAS Johor turut dihadiri Penyelaras Projek Sumbangan, Ahmad Al Johari Mohd Yusof dan wakil Pertubuhan Prihatin Johor Bahru, Zakiah Tukirin serta wakil Sekretariat Tabung COVID-19 (STBC) dibawah Khidmat Malaysia Johor. – HARAKAHDAILY 22/9/2021

- Advertisement -