KeTSA rangka strategi pelihara kelestarian alam

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) menggariskan enam strategi untuk memastikan kelestarian alam semula jadi negara ini.

Menterinya, Dato’ Seri Takiyuddin Hassan, berkata ini dilakukan dengan penyertaan agensi kementeriannya dalam penilaian Laporan Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling (EIA) mengikut peruntukan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127).

- Advertisement -

Katanya, ini termasuk mengukuhkan pelaksanaan Kajian Impak Hidupan Liar (WIS) dan Pelan Pengurusan Hidupan Liar (WMP) bagi mana-mana cadangan projek pembangunan;

“Kementerian juga akan berusaha memulih, mengekal dan meningkatkan saling kaitan untuk menjamin kesinambungan koridor ekologi di kawasan Central Forest Spine (CFS).

“Selain itu, KeTSA menjalankan pemetaan dan sistem zon kawasan yang berpotensi untuk perlombongan dan kuari dalam penyediaan Rancangan Fizikal Negara dan Rancangan Struktur Negeri bagi memastikan tiada cadangan aktiviti perlombongan di kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK),” katanya pada sesi penggulungan perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Takiyuddin berkata, KeTSA juga akan mewujudkan zon penampan di sempadan HSK, Kawasan Rizab Perlindungan dan Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) dalam pelaksanaan projek pembangunan.

Selain itu, katanya kawasan HSK akan dipastikan tidak diwarta keluar, terutama kawasan yang melibatkan Hutan Konservasi Bernilai Tinggi (HCVF).

Katanya, teknologi terkini juga digunakan, iaitu melalui aplikasi Sistem Pengawasan Hutan Menggunakan Remote Sensing Plus 5 (FMRS+5), termasuk penggunaan dron bagi tujuan penguatkuasaan, pemantauan dan pengesanan perubahan litupan kawasan hutan.

Sementara itu, katanya Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) sedang menjalankan Kajian Penilaian Ekonomi Berasaskan Pendekatan Kos di HSK Kedah mulai Julai lalu hingga Oktober tahun hadapan.

“Kajian ini bertujuan untuk memberi nilai ekonomi terhadap kerosakan perkhidmatan ekosistem hutan dalam HSK yang mungkin berlaku akibat perubahan guna tanah.

“Penilaian ekonomi berasaskan pendekatan kos ini merupakan antara kaedah penilaian yang mengambil kira kos alam sekitar yang terlibat,” katanya.

Takiyuddin berkata, hasil kajian itu akan menyediakan data garis dasar untuk kajian seterusnya mengenai penilaian ekonomi terhadap barangan dan perkhidmatan ekosistem hutan di kawasan hutan Semenanjung Malaysia dan membantu membangunkan mekanisme pelaksanaan bayaran kepada perkhidmatan ekosistem hutan. – HARAKAHDAILY 22/9/2021

- Advertisement -