Kerajaan perketat kawalan sempadan Sarawak, elak PATI masuk

- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

KUALA LUMPUR: Semua pelawat yang ingin memasuki negeri Sarawak diwajibkan mendapatkan kebenaran Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (SDMC).

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Jonathan Yasin, berkata langkah itu adalah antara usaha kerajaan bagi mengawal kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dibawa ejen tidak bertanggungjawab yang menjadi punca penularan Covid-19 di Sarawak.

- Advertisement -

Katanya, kerajaan turut mengarahkan semua pos kawalan sempadan dengan Kalimantan, Indonesia, ditutup semasa tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Waktu operasi Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Sarawak dengan negara jiran turut dihadkan bagi mengekang penularan Covid-19.

“ICQS di Sarawak dengan Kalimantan, Indonesia, dihadkan antara jam 9 pagi hingga 3 petang. Operasi ICQS di Sarawak dengan Brunei Darussalam pula dihadkan antara jam 6 pagi hingga 6 petang,” katanya ketika menjawab soalan lisan Dato’ Robert Lawson Chuat (GPS-Betong) di Dewan Rakyat, hari ini.

Jonathan berkata, kawalan juga dibuat membabitkan laluan ke Sarawak yang tidak diwartakan dengan menjalankan Ops Benteng yang dilaksanakan oleh Pasukan Gerakan Am dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Selain itu, katanya sesi libat urus bersama majikan diadakan supaya patuh kepada prosedur pengendalian pekerja asing ke negara ini dan mengikut peruntukan undang-undang di bawah Akta Imigresen 1959/63.

“Kementerian juga mengadakan perbincangan dengan konsulat negara jiran untuk memaklumkan kepada rakyat negara berkenaan supaya tidak sewenang-wenang masuk ke negeri Sawarak melalui prosedur yang tidak teratur.

“Kami turut mengadakan perbincangan dengan pelbagai agensi yang mengawal sempadan untuk mencegah kemasukan PATI dari semasa ke semasa,” katanya.

Katanya, pendigitalan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISE) yang sedang dibangunkan akan diperkasa bagi mengawal kemasukan warga asing ke Sarawak.

“Kerajaan juga bekerjasama dengan negara jiran melalui Persidangan Jawatankuasa Kerja atau Kelompok Kerja Pembangunan Sosio Ekonomi Malaysia-Indonesia (JKK/KK SOSEK MALINDO) – Brunei Darussalam – Indonesia, Malaysia – Philipines East ASEAN Growth Area (BIMP-EAGA) untuk membincangkan isu berkaitan PATI,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/9/21

- Advertisement -