Kajian NASP tentukan pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Cadangan pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) di Kedah tertakluk kepada Kajian Pelan Strategik Lapangan Terbang Kebangsaan (NASP) yang akan dimulakan pada akhir tahun ini.

Menteri Pengangkutan, Dato’ Seri Dr Wee Ka Siong, berkata kajian NASP dikuatkuasakan bagi semua 42 lapangan terbang sedia ada, termasuk cadangan pembinaan lapangan terbang baharu.

- Advertisement -

Sehubungan itu, katanya Kerajaan Kedah akan diminta memberi maklumat kepada pasukan perunding NASP berhubung unjuran yang realistik dan tepat, terutama perkhidmatan penumpang dan kargo serta komitmen syarikat penerbangan yang ingin menggunakan KXP, terutama pada era pasca Covid-19.

“Setakat ini, Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) memberi kelulusan prinsip terhadap cadangan projek pembangunan KXP,” katanya ketika sesi menggulung perbahasan menjunjung Titah Diraja bagi Kementerian Pengangkutan di Dewan Rakyat, hari ini.

Ka Siong berkata, kelulusan pada 27 Oktober 2020 itu tertakluk kepada permohonan mendapatkan pertimbangan daripada Kementerian Pengangkutan dan beberapa agensi kerajaan lain seperti Kementerian Kewangan, Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Alam Sekitar, Tentera Udara Diraja Malaysia dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia.

Sehingga kini, katanya tiada kelulusan diberikan untuk menubuhkan aerodrom bagi projek KXP seperti yang diperuntukkan mengikut Peraturan Peraturan-Penerbangan Awam (Pengendalian Aerodrom) 2016.

Katanya, asas cadangan pembinaan KXP ialah bagi menyokong pengendalian penumpang dan kargo yang disediakan oleh Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).

Sehubungan itu, katanya adalah wajar pembinaan KXP dipertimbangkan setelah kapasiti pengendalian LTAPP mencecah kapasiti maksimum.

“Unjuran permintaan penumpang dan kargo mesti bersandarkan kepada asas dan data yang kukuh serta tepat dengan mengambil kira pembangunan kapasiti maksimum LTAPP demi memastikan aspek daya maju KXP,” katanya.

Beliau berkata, kelulusan akhir bagi cadangan KXP hanya akan dipertimbangkan apabila kajian NASP telah disiapkan serta pematuhan kepada semua syarat yang ditetapkan oleh agensi kerajaan lain seperti yang dinyatakan dalam laporan teknikal seperti Laporan Penilaian Impak Alam Sekeliling (EIA), Laporan Penilaian Impak Sosial (SIA), dan Laporan Penilaian Impak Trafik (TIA).

Katanya, Kementerian Pengangkutan mengalu-alukan cadangan mana-mana pihak untuk membina lapangan terbang, tetapi perlu memastikan cadangan pembinaan lapangan terbang benar-benar berdaya maju, lestari dan memenuhi keperluan teknikal ditetapkan. – HARAKAHDAILY 22/9/21

- Advertisement -