Isu ‘taik mesin’ muncul setiap kali musim menuai

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

ARAU: Isu ‘taik mesin’ atau bongkah tanah di atas jalan raya muncul setiap kali musim menuai dan menanam padi, masih berlarutan sehingga sekarang.

Adun Sanglang, Mohd Shukri Ramli berkata, sehingga sekarang nampaknya isu berkenaan belum ada jalan penyelesaiannya.

Katanya, pengguna jalan raya sering merungut di mana jentuai atau kenderaan membajak meninggalkan bongkah tanah di atas jalan.

- Advertisement -

“Saya berharap perkara tersebut dapat diselesaikan secara menang-menang oleh semua pihak yang terlibat.

“Masalah jentuai meninggalkan bongkah tanah di atas jalan raya bukan perkara baharu, malah sering menjadi keluhan orang ramai setiap kali musim menuai padi.

“Isu tersebut melibatkan kepentingan banyak pihak, terutamanya pengguna jalan raya yang melalui lokasi selepas dilalui jentuai.

“Banyak masalah dihadapi pengguna jalan raya termasuk risiko kemalangan, dan tindakan penguatkuasaan seperti saman oleh pihak berkuasa,” katanya.

Oleh itu, beliau menyarankan supaya penyelesaian dapat dicari segera supaya semua pihak yang terlibat berpuas hati dan dalam masa sama tidak menjejaskan sektor penanaman padi.

Adun Guar Sanji, Ustaz Mohd Ridzuan Hashim turut berharap pihak berkuasa mencari kaedah terbaik menangani masalah berkenaan.

Katanya juga pengusaha jentuai terpaksa menanggung kos yang tinggi apabila menggunakan perkhidmatan lori bagi mengangkut jentuai mereka.

“Kita juga sedia maklum rungutan pemilik jentuai, kerana terpaksa menanggung kos begitu tinggi sekiranya menggunakan perkhidmatan lori bagi mengangkut jentera tersebut.

“Namun, pada masa yang sama, bongkah tanah yang dibiarkan berselerakan di jalan raya mengotor dan merosakkan struktur jalan malah boleh mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya,” ujarnya.

Oleh itu beliau berharap Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR), Jabatan Pengankutan Jalan (JPJ), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) serta pengusaha jentuai mencari solusi terbaik menyelesaikan masalah itu.

Sebelum ini penduduk membangkitkan rungutan isu ‘taik mesin’ yang tidak berkesudahan sehingga sekarang. – HARAKAHDAILY 22/9/2021

- Advertisement -